AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank 2024: Melangkaui Kebiasaan



Agrobank mencatatkan rekod tertinggi untuk penyaluran pembiayaan iaitu sebanyak RM10.44 bilion dan mencatatkan prestasi luar biasa merentasi semua sektor pada tahun 2024. Penyaluran pembiayaan Agrobank menunjukkan pertumbuhan yang ketara iaitu sebanyak 25.46%, melepasi pertumbuhan tahun sebelumnya sebanyak 15.97%. Ia mencerminkan sokongan teguh kami terhadap pembangunan sektor pertanian Malaysia.

Jumlah portfolio pembiayaan meningkat sebanyak RM1,207.35 juta, mencatatkan kenaikan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 72.08% berbanding pencapaian pertumbuhan pada tahun 2023. Peningkatan ini didorong oleh prestasi luar biasa yang dicapai oleh tiga segmen perniagaan utama – segmen PKS, yang berjumlah RM547.68 juta (161.08% melebihi sasaran), segmen Ar-Rahnu dengan RM186.92 juta (155.76% melebihi sasaran) dan segmen mikro dengan RM181.21 juta (100.67% melebihi sasaran). Baki deposit juga menunjukkan pertumbuhan yang sihat dan tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM13.25 bilion. Prestasi Agrobank yang kukuh dalam aktiviti pengumpulan deposit dapat dilihat pada nisbah CASA yang berada pada paras 44% daripada jumlah deposit, mengatasi purata industri perbankan yang hanya 31%.

Jumlah pendapatan berada pada trajektori positif, mencapai RM1.26 bilion dengan pertumbuhan 9.32% berbanding tahun sebelumnya – pencapaian tertinggi dalam tempoh tiga tahun. Pencapaian ini adalah hasil daripada pertumbuhan stabil dalam pembiayaan dan pendapatan sampingan daripada pelaburan (naik sebanyak 22.8%), usaha pemulihan (naik sebanyak 9.67%), serta pendapatan berasaskan yuran (naik sebanyak 9.95%).

Memperkasa Komuniti Melalui Kewangan yang Inklusif

Satu lagi pencapaian besar yang dicapai pada September 2024 iaitu pengoperasian anak syarikat pertama Agrobank, Agro Captive Takaful Limited (ACTL) dan pelancaran program takaful tanaman padi pertama di Malaysia – Skim Takaful Tanaman Padi – bagi menyokong keperluan perlindungan untuk para petani. Sehingga Disember 2024, ACTL telah membantu lebih 130,000 petani untuk membuka akaun deposit dan mendaftarkan 50,000 petani untuk skim takaful padi.

Pihak bank juga telah menandatangani kerjasama strategik dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) di bawah Pembiayaan Dana Pengembangan Dan Katalis Bumiputera, dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Peruntukan ini disediakan untuk syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi dalam pengembangan perniagaan, pelaburan dalam teknologi baharu dan penciptaan peluang pekerjaan. Dijangkakan sebanyak 20 syarikat, masing-masing dengan had pembiayaan purata RM5.0 juta, akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini. Selain itu, kami juga melancarkan format cawangan baharu iaitu Pusat Pembangunan Komuniti di RTC Tunjung, bertujuan memberikan perkhidmatan khidmat nasihat kepada komuniti pertanian, yang melangkaui perkhidmatan transaksi asas. Setakat ini, RM3.97 juta pengeluaran telah disalurkan dalam tempoh enam bulan pertama pengoperasian.

Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) yang merupakan pusat latihan kami telah menganjurkan 110 program latihan di seluruh negara, melibatkan 2,675 peserta dari komuniti tani. Melalui program ini, kami berjaya mendaftarkan 528 peserta sebagai pelanggan Agrobank. Program Agropreneur Muda (Young Agropreneur) memberikan impak yang besar di mana ia mewujudkan peluang perniagaan bernilai RM4.8 juta untuk 157 peserta asnaf dan B40. Sehingga Januari 2025, para peserta telah menjana pendapatan hampir RM450,000 hasil daripada 10 projek, dengan 6 projek baharu sedang berjalan. Program ini mencapai kadar penukaran 100%, dengan keseluruhan 157 peserta menjalin hubungan perbankan rasmi dengan Agrobank. Ini menunjukkan komitmen kami untuk memupuk generasi usahawan agro pada masa hadapan dan
menyokong kelestarian hidup petani di luar bandar.

Selaras dengan mandat kami untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti tani, ACE
telah berjaya membimbing dan menyokong 120 usahawan dari golongan berpendapatan rendah dan asnaf melalui Program Hijrah Asnaf yang dilaksanakan di seluruh Malaysia. Setiap peserta telah memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM3,000 melalui 10 program berbeza. Selain latihan, kami juga menyediakan penyelesaian pembiayaan rumah melalui Program Kediaman Mampu Milik-i, yang memberi manfaat kepada 653 keluarga, kebanyakannya daripada golongan B40.

Mengukuhkan Pemerkasaan Bumiputera

Pada tahun 2024, penyaluran pembiayaan kepada usahawan Bumiputera banyak diagihkan kepada segmen PKS – RM222.97 juta (40%), diikuti oleh segmen Korporat sebanyak RM209.84 juta (38%) dan segmen Mikro sebanyak RM121.47 juta (22%). Bagi segmen PKS, sektor sokongan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM96.38 juta, manakala sektor penternakan menerima RM54.08 juta. Bagi segmen Korporat, sebanyak RM201.83 juta disalurkan kepada sektor pemprosesan berasaskan pertanian.

Inovasi Digital dan Kejayaan Kempen

Salah satu inisiatif digital utama yang dilancarkan pada tahun 2024 adalah sistem pembukaan akaun mudah alih Agrobank yang ditambah baik – AgroTouch, yang mengurangkan masa pembukaan akaun dan pengeluaran kad debit daripada 30-45 minit kepada hanya 5 minit. Ini menyumbang kepada peningkatan ketara dalam pembukaan akaun baharu (627,139) untuk komuniti terpinggir dan kurang mendapat perhatian, jauh melebihi sasaran tahunan kami sebanyak 350,000. Versi self-service sistem ini masih dalam pembangunan dan ia dijanka akan dijangka dilancarkan pada tahun 2025 membolehkan pelanggan melengkapkan proses pembukaan akaun dalam talian dalam 10 minit tanpa perlu melawat cawangan. Selain itu, kami telah berjaya melaksanakan Robotic Process Automation (RPA) untuk mengoptimumkan proses
asas dalaman dan penggunaan sumber, yang menghasilkan penjimatan FTE lebih 50%.

Pada tahun 2024, kami aktif menganjurkan kempen pendidikan untuk mempromosikan literasi digital dalam kalangan komuniti tani, terutamanya di kawasan luar bandar. Secara keseluruhan, jumlah transaksi digital (10.23 juta transaksi) dan nilai transaksi (RM10.53 bilion) meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga tahun lalu. Sebagai contoh, AGRONetBIZ mencatatkan 890,000 transaksi (32% peningkatan tahun ke tahun) dan transaksi QR masuk POS melonjak kepada 4.16 juta (247% peningkatan tahun ke tahun). Selain itu, kami telah melepasi beberapa sasaran: pelaksanaan DuitNow QR melebihi sasaran sebanyak 192%, AgroCash-i berjaya memperoleh RM1.87 bilion melalui kempen Mega Million 1.0 (312% melebihi sasaran), deposit meningkat kepada RM290.36 juta (138% melebihi sasaran) dan transaksi Takaful mencapai RM20.64 juta (105% melebihi sasaran).

Peningkatkan Impak Komuniti

Antara fokus utama dalam Tanggungjawab Sosial Korporat kami pada tahun 2024 adalah meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan komuniti tani dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai amalan pertanian terkini serta perkembangan teknologi.

Sebanyak 125 program literasi kewangan telah dijalankan yang memberi manfaat kepada 4,612 peserta dari pelbagai kumpulan umur dan demografik, di mana 1,186 daripadanya terdiri daripada golongan belia. Salah satu inisiatif ialah Program Aquaculture Aspire, yang memperkenalkan teknologi bioflok untuk penternakan ikan Tilapia di 10 sekolah terpilih di seluruh negara. Inisiatif ini mensasarkan Kelas Pendidikan Khas yang melibatkan para pelajar neurodiversiti. Ia turut membantu belia neurodiversiti memperoleh kemahiran praktikal dalam akuakultur, memperkasa keterangkuman pendidikan dan pengeluaran makanan lestari.

Hasil daripada program pembangunan berstruktur dalam sektor pertanian dan komuniti, kami mencatatkan pencapaian yang signifikan dalam upward migration, di mana 13% peserta yang terlibat dalam program melaporkan peningkatan pendapatan, 16% beralih daripada entiti perniagaan tidak formal kepada entiti formal, 26% menerima pembiayaan mikro permulaan dan 45% menambah baik penilaian kredit mereka, sekali gus meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan. Usaha kami menghasilkan kesan sampingan yang positif kepada ekonomi secara keseluruhan, mewujudkan dan mengekalkan 3,879 pekerjaan melalui perniagaan pelanggan kami pada Tahun Kewangan 2024, termasuk 1,940 jawatan baharu yang diisi melalui pengembangan perniagaan.

Melangkaui 2024

Agrobank kekal teguh dalam melaksanakan mandat sebagai institusi kewangan pembangunan pertanian negara, merangka hala tujuan untuk memacu pertumbuhan dan ketahanan pertanian melalui penyelesaian kewangan inovatif, transformasi digital dan amalan pertanian lestari.

Menjelang 2025, Agrobank sedang memperhebatkan usaha dalam empat bidang yang saling berkait. Pertama, kami akan meluaskan inisiatif untuk merangsang pemodenan sektor pertanian melalui penyelesaian kewangan yang berpatutan dan program-program yang akan menggalakkan penggunaan teknologi pertanian pintar, sistem pertanian tepat dan Industri 4.0. Kedua, kami akan memperkukuh komitmen terhadap keterangkuman kewangan dengan meneroka pengembangan penyelesaian takaful kepada sektor pertanian selain tanaman padi dan meningkatkan tawaran perkhidmatan kami untuk jangkauan yang lebih luas. Ketiga, kami akan terus menyokong peralihan sektor pertanian ke arah aktiviti yang lebih lestari dan mengintegrasikan penilaian risiko iklim dalam amalan pemberian pinjaman utama kami. Akhirnya, kami komited untuk menarik dan mencungkil bakat yang yang akan
terus memajukan agenda pembangunan Agrobank dalam sektor pertanian. Melalui
keutamaan strategik ini, Agrobank berhasrat untuk merangsang sektor pertanian yang
lebih berdaya tahan, inklusif dan berteknologi tinggi, di samping memastikan
penjagaan alam sekitar dan pembangunan komuniti kekal menjadi teras misi kami.

Nota: Semua angka dan statistik yang disebutkan adalah berdasarkan data prestasi
untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY2024), kecuali
dinyatakan sebaliknya.