Transformasi Wilayah Agrobank Pulau Sri Tanjung Perkasa Ekonomi Penjaja Tempatan
Agrobank hari ini telah melancarkan Pulau Sri Tanjung, Tumpat, Kelantan sebagai sebahagian daripada strategi mewilayahkan pulau tersebut dengan tujuan mentransformasikan komuniti penjaja tempatan. Pelancaran Pulau Sri Tanjung ini memberi penekanan terhadap penggunaan kod DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah utama pembayaran tanpa tunai. Kaedah pembayaran digital ini berpotensi menarik lebih ramai pelancong dan mengukuhkan daya tarikan Pulau Sri Tanjung sebagai destinasi pelancongan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Ekosistem ekonomi di Pulau Sri Tanjung didominasi oleh aktiviti perniagaan yang berfokuskan kepada penjualan produk makanan yang dijalankan di atas bot-bot terapung. Selain itu, pulau ini adalah salah sebuah destinasi ekopelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung. Dengan kehadiran pelancong
sebanyak 2,000 hingga 3,000 orang sehari, ia membuka peluang yang signifikan untuk menjana pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat.”
“Menyedari keperluan untuk memodenkan perniagaan tradisional ini demi pertumbuhan yang mampan, penggunaan kod DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai utama memastikan penyertaan inklusif komuniti luar bandar dalam ekonomi digital. Inisiatif ini menyokong pembangunan ekonomi dengan menyediakan kemudahan pembayaran digital kepada penjaja tempatan, sekali gus menghubungkan komuniti pulau terpencil dengan perkhidmatan kewangan arus perdana dan mengurangkan risiko pengendalian wang tunai,” tambahnya.
“Kami mensasarkan untuk membantu keseluruhan usahawan di Pulau Sri Tanjung yang terdiri daripada 60 orang penjaja bagi membuka akaun perbankan Agrobank. Tambahan pula, inisiatif ini turut memberi manfaat kepada 450 orang nelayan di persisiran pantai yang dapat menikmati kemudahan transaksi perbankan digital. Perkhidmatan pembayaran elektronik ini akan memudahkan 1,000 orang penduduk Teluk Renjuna yang meliputi 12 buah pulau di
daerah Tumpat, Kelantan. Selain pembukaan akaun perbankan, Agrobank turut menawarkan kemudahan pembiayaan seperti Ar-Rahnu, Hartani-i, AgroCash-i, Takaful Kasih serta pembiayaan mikro.”
“Untuk memastikan perkembangan Pulau Sri Tanjung, Agrobank akan melaksanakan beberapa inisiatif berterusan termasuk mengenal pasti dan melantik ejen perbankan tempatan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan untuk penduduk setempat. Selain itu, Agrobank akan turut menyediakan khidmat nasihat kewangan yang menyeluruh kepada para nelayan, khususnya berkaitan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti, Agrobank juga akan menganjurkan sesi khas bersama sekolah-sekolah di sekitar pulau bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan perbankan kami.”
Penggunaan kod DuitNow QR Agrobank adalah sejajar dengan agenda Bank Negara Malaysia iaitu inisiatif e-Duit Desa. Kerjasama antara Agrobank sebagai penyedia perkhidmatan kewangan dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) selaku penyedia infrastruktur pembayaran negara dan pengendali platform DuitNow QR mencerminkan komitmen bersama untuk memperluas keterangkuman kewangan ke kawasan yang kurang mendapat akses perkhidmatan.
Menurut Pengarah Komersil Kanan PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, “Kerjasama PayNet dan Agrobank membolehkan perkhidmatan pembayaran digital yang lancar diperluaskan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di kawasan luar bandar. Melalui penggunaan DuitNow QR, para peniaga, penduduk tempatan dan pelancong dari negara seperti China, Singapura, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Kemboja kini boleh menikmati ekosistem tanpa tunai yang memacu bandar-bandar di seluruh Malaysia. Inisiatif ini adalah selari dengan keperluan semasa, memandangkan Pulau Sri Tanjung dijangka menerima kedatangan pelancong yang lebih ramai menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Sebagai rangkaian pembayaran nasional, PayNet juga bertanggungjawab memastikan komuniti Pulau Sri Tanjung bukan sekadar menjadi sebahagian daripada ekosistem tanpa tunai, tetapi mampu memanfaatkan sepenuhnya untuk masa hadapan.”
Pelancaran Wilayah Agrobank Pulau Sri Tanjung mencerminkan komitmen Agrobank untuk memperkasa penjaja tempatan melalui adaptasi teknologi kewangan digital. Dengan sokongan infrastruktur dan perkhidmatan perbankan yang inklusif, Agrobank komited untuk terus memacu pembangunan ekonomi luar bandar dan memastikan tiada komuniti tercicir dalam arus kemajuan negara, terutamanya dalam aspek pendigitalan.