AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Sambut Bulan Kemerdekaan Malaysia Ke-65, Agrobank Lancar Kempen #AgrobankTeguhBersama



KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2022 – Agrobank sebagai peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai di Malaysia, hari ini melancarkan Kempen Bulan Kemerdekaan #AgrobankTeguhBersama bersempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia ke-65.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Seawal penubuhan pada tahun 1969, #AgrobankTeguhBersama Malaysia, kekal komited secara aktif dalam mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan pelbagai produk dan solusi kewangan patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, pengguna, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro dan sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara sejak lebih 50 tahun yang lalu.”

“Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan disambut tidak lama lagi, Agrobank amat teruja untuk turut sama menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik yang telah disusun khas di peringkat Bank mahupun peringkat kebangsaan, sepanjang 16 Ogos – 16 September 2022. Sebagai contoh, pada 18 Ogos yang lalu, Agrobank telah menaikkan bendera gergasi Malaysia berukuran 100 x 150 kaki di bangunan Menara Agrobank yang boleh dilihat secara jelas dari Dataran Merdeka,” kata Tengku Ahmad Badli Shah ketika ditemui di acara simbolik pelepasan (flag off) kontinjen Agrobank yang akan turut serta dalam acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Penyertaan kontinjen daripada Agrobank seramai 60 orang bersama 30 kereta klasik, satu kerjasama bersama Akash Classic Malaysia dengan penyertaan daripada Kelab Peminat Kereta Mini Malaysia dan Malaysia & Singapore Vintage Car Register; dalam acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada pada 31 Ogos ini secara simboliknya adalah bagi memperingati peristiwa bersejarah di mana Tunku Abdul Rahman bersama Tun Tan Cheng Lock dan Datuk Panglima Bukit Gantang, Toh Muda Abdul Wahab Abdul Aziz yang telah diarak menggunakan kereta klasik model ‘Nash Rambler Custom Convertible 1951’ pada Majlis Sambutan Kepulangan Rombongan Merdeka dari London, di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956 yang telah merintis kepada detik bermakna, Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka.

“Di samping itu, Agrobank menerusi Agrobank Cycling Club dengan kerjasama Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinar Pelangi telah menganjurkan program Kayuhan Amal Merdeka, satu inisiatif tanggungjawab sosial ke Cameron Highland selama tiga hari dua malam bermula pada Jumaat, 26 Ogos yang lepas. Program Kayuhan Amal Merdeka itu telah diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi bersama para pengayuh yang terdiri daripada warga kerja Agrobank.

Selain itu, Agrobank turut melancarkan pelbagai aktiviti di peringkat Bank termasuklah pertandingan mencipta video bertemakan #AgrobankTeguhBersama dan #KeluargaAgrobankers (22 Ogos – 4 September), Pakaian Kebudayaan (29 Ogos – 4 September), dan Cabaran Larian Agro Merdeka (5 – 16 September) di kalangan warga kerja Agrobank, selain Karnival Agro Merdeka yang akan diadakan pada 14 September ini dengan pelbagai program menarik termasuklah gerai makanan, ‘Jom Makan-Makan’ dan kraftangan bertemakan #KeluargaMalaysia, permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta tayangan filem bertemakan #KeluargaMalaysia.

Bersempena Kempen Bulan Kemerdekaan pada tahun ini juga, Agrobank turut memberikan kelainan dengan menghasilkan satu filem pendek istimewa bertajuk “Berbudi Pada Tanah” yang menampilkan karyawan-karyawan hebat seperti seniwati Wan Maimunah, Azri Iskandar, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah.

Filem pendek yang berdurasi tujuh minit ini boleh mula ditonton di laman YouTube rasmi Agrobank dan semua saluran media sosial rasmi Agrobank yang lain seperti Facebook dan Instagram, pada Selasa, 30 Ogos, jam 9 malam.