AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Jalin Kerjasama Bersama UPM, Agrobank Lancar Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur



SERDANG, 18 OGOS 2022 – Agrobank hari ini melancarkan Program Inkubator Keusahawan Akuakultur, satu jalinan kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), dalam usaha kedua-dua entiti itu untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda terutama dikalangan pelajar lepasan institusi pengajian tinggi tempatan, sekali gus dapat mendukung agenda dan aspirasi Kerajaan dalam mentransformasi industri pertanian dan agromakanan negara.

Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur ini telah dirasmikan oleh Aminuddin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank dan Prof. Dr. Nazamid Saari, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia.

Menurut Aminuddin Amenon, Program Inkubator Keusahawanan Akuakultur ini merupakan sebuah program berstruktur yang dirangka khas oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) dengan kerjasama Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian UPM dengan tujuan untuk memberi pendedahan secara praktikal kepada para siswazah berkenaan ilmu keusahawanan dalam bidang akuakultur.

“Selain ilmu teknikal yang diajar oleh pihak UPM, peserta program ini juga turut didedahkan dengan ilmu perniagaan, pengurusan kewangan dan ilmu pemasaran sepanjang program ini berlangsung. Para peserta juga akan dipantau dan dibimbing selama enam bulan oleh Jurulatih Perniagaan yang bertauliah dari ACE bagi memastikan mereka mampu menguruskan perniagaan dan bersaing di pasaran sebenar,” kata Aminuddin.

Para peserta program ini juga turut didedahkan dengan pengetahuan pengurusan risiko dan kaedah menanganinya beserta mendapat bimbingan secara terus menerusi perkongsian pengalaman dari usahawan yang telah berjaya.

“Keunikan program ini bukan sahaja terletak pada struktur dan pengisiannya, malah ia juga sedikit berbeza dari program inkubator keusahawanan yang lain. Untuk makluman semua, sumber dana yang digunakan untuk menjalankan program ini turut diperuntukkan dari dana kewangan sosial atau social finance yang diuruskan oleh pihak Agrobank. Inisiatif ini adalah selaras dengan usaha Agrobank dalam memanfaatkan instrumen kewangan sosial dalam memberi impak dan membangunkan komuniti terutamanya dalam sektor pertanian,” tambah Aminuddin.

Dalam ucapan perasmian beliau, Aminuddin turut menambah, “Alhamdullilah, setakat ini saya telah dimaklumkan oleh pegawai kami yang turut terlibat dalam program ini, seramai tiga peserta daripada 10 peserta yang mengikuti program ini telah pun memulakan perniagaan mereka dalam pembenihan ikan air tawar meskipun program ini masih lagi sedang berjalan.”

Berkongsi tentang peranan Institusi Kewangan Pembangunan itu untuk menggalakkan lebih ramai penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian, Aminuddin berkata, “Kami di Agrobank menyediakan pelbagai infrastruktur pembiayaan dan dana khusus kepada para usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih komersial atau untuk memenuhi pasaran eksport.”

“Kami juga turut menyediakan dana pembiayaan khas untuk golongan belia yang dikenali sebagai Y.E.S (Youth Entrepreneur Scheme) atau Skim Pembiayaan Agropreneur Muda yang menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 dengan kadar keuntungan serendah 2% setahun bagi tempoh pembiayaan selama tujuh tahun.”

Majlis pelancaran Program Inkubator Keusahawan Akuakultur ini turut dihadiri Prof. Madya Dr. Nur Azura Adam, Dekan Fakulti Pertanian UPM, warga kerja Agrobank dan UPM, serta rakan-rakan media.

Untuk maklumat lanjut berkaitan produk dan pembiayaan Agrobank, usahawan boleh melayari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1300 88 2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my.