AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Umum Inisiatif Agrobazar Ramadan Beri Pembiayaan Kepada Peniaga Bazar Ramadan



Agrobank hari ini mengumumkan pembiayaan Inisiatif Agrobazar Ramadan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan sempena bulan puasa yang bakal menjelang tiba. Inisiatif ini menawarkan
pembiayaan bermula RM1,000 sehingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan
sehingga 7 tahun.

Inisiatif Agrobazar Ramadan ini adalah bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan merangkumi pelbagai aktiviti perniagaan di sepanjang bulan Ramadan termasuk penjualan lauk-pauk, kuih-muih, pakaian raya, kuih raya serta pelbagai keperluan lain yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan.

Inisiatif yang berlangsung daripada 13 Februari 2025 sehingga 31 Mac 2025 ini terbuka kepada semua pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank yang berminat untuk menceburi dunia perniagaan di bazar Ramadan pada bulan yang penuh keberkatan ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, “Inisiatif ini bertujuan untuk membantu golongan yang berhasrat untuk berniaga di bazar Ramadan dan memerlukan bantuan kewangan. Fokus utama kami adalah untuk membantu peniaga-peniaga ini untuk mengusahakan perniagaan berasaskan makanan atau pelbagai aktiviti perniagaan sempena bulan Ramadan. Kami turut membantu para peniaga dengan menyediakan kanopi eksklusif Agrobank agar beban persediaan perniagaan mereka dapat diringankan.”

Selain itu, Agrobank menerusi Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam mempromosi Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 kepada peniaga bazar Ramadan.

Kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 ini dirangka khusus dengan kerjasama strategik lima (5) pihak PBT dan PayNet untuk mempromosikan penggunaan Kod QR Agrobank sebagai mod pembayaran utama bagi peniaga-peniaga kecil. Peniaga-peniaga bazar Ramadan yang menggunakan DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah utama menerima bayaran di 16 tapak bazar Ramadan yang terpilih akan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM40,000.

Tambah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank menyokong penuh usaha kerajaan negeri Selangor dalam memperkasakan dan memperkukuhkan keperluan sosioekonomi rakyat dipenuhi dan menggiatkan pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor”.

Agrobank komited untuk terus menyokong usahawan mikro dan komuniti yang memerlukan, dengan menyediakan pembiayaan yang fleksibel untuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara memohon pembiayaan atau syarat-syarat yang terlibat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Agrobank atau mengunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan.