AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sokong Inisiatif Solidariti Untuk Palestin, Namun Tegas Tolak Penyalahgunaan Identiti Korporat



Agrobank menyeru orang ramai agar berhati-hati ketika memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan di media sosial yang boleh mengelirukan atau disalah tafsir. Walaupun program Pelayaran Solidariti Kelantan bertujuan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Gaza, rakaman video yang dikongsikan di media sosial telah menimbulkan kekeliruan dan disalah tafsir oleh orang ramai.

Bot yang dipaparkan dalam video tersebut digunakan dalam inisiatif promosi Agrobank sebelum ini namun, penyertaan bot tersebut dalam acara solidariti berkenaan telah dilakukan tanpa pengetahuan pihak Bank.

Agrobank turut kesal dengan tindakan segelintir pihak di media sosial yang telah menimbulkan salah faham terhadap imej Bank melalui perkongsian kandungan yang mengelirukan dan tidak tepat. Sebagai sebuah institusi perbankan Islam, Agrobank berpegang teguh kepada prinsip Islam yang menolak penyebaran maklumat yang
tidak benar atau tidak sahih, serta menggalakkan komunikasi yang beretika dan berlandaskan nilai kejujuran.

Agrobank menegaskan bahawa Bank tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan, pementasan, mahupun penyebaran video tersebut. Kandungan yang tular itu tidak mencerminkan pendirian, nilai mahupun identiti sebenar Agrobank.

Agrobank amat menghargai semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin dan mengalu-alukan inisiatif masyarakat untuk menzahirkan sokongan terhadap isu kemanusiaan global ini secara berhemah dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Agrobank menyeru kepada mana-mana individu atau pihak yang telah memuat naik video tersebut agar menurunkannya segera bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir terhadap imej korporat Agrobank.

Agrobank turut akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan nama, logo dan identiti korporat Bank tidak disalahgunakan dalam mana-mana konteks yang boleh menjejaskan reputasi institusi dan menimbulkan salah faham awam.