AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Usahawan PKS Agrobank Terokai Pentas E-Dagang Hadapi Normal Baharu



KUALA LUMPUR – Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Agrobank terus mengorak ke hadapan mengadaptasi normal baharu dalam menjalankan perniagaan mereka dengan menerokai platform e-dagang atau secara dalam talian untuk meneruskan kelestarian perniagaan.

Dalam penampilan khas di program UMBI AGRO yang diadakan bersempena Bulan PKS Agrobank, di Facebook LIVE Agrobank pada Selasa, dua usahawan tani Bank, Mazlina Kamaruddin, Pengarah Urusan, Bismi Cergas Sdn. Bhd. (Ayam Bismi Halal Suci) dan Musleha Zainuddin, Pengarah Urusan MHP Enterprise Sdn. Bhd. berkongsi pengalaman peribadi pada sesi dialog yang bertajuk ‘Usahawan Agro Selepas PKP: Adaptasi dan Pemulihan’’. Sesi dialog tersebut dikendalikan oleh Lokman Affandy Yahaya, Ketua Jabatan Perancangan Strategik Korporat Agrobank.

Kedua-dua usahawan bersependapat mengenai pentingnya bagi penggiat sektor PKS untuk menerokai platform e-dagang sebagai medium perniagaan alternatif khususnya untuk terus bertahan ketika berdepan sebarang krisis seperti penularan wabak COVID-19.

Mazlina berkata, walaupun pada mulanya kelihatan sukar untuk terus bertahan dan meneruskan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia ada hikmahnya tersendiri.

Katanya, perniagaan berasaskan pengeluaran dan pemprosesan ayam beliau terus berkembang menerusi platform dalam talian.

“Pada awalnya, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi (kepada perniagaan) ketika pengumuman PKP dilakukan oleh YAB Perdana Menteri tetapi saya berasa cukup lega apabila kerajaan mengumumkan pengeluaran dan pemprosesan ayam dikategorikan sebagai sektor keperluan dan dibenarkan untuk terus berniaga sepanjang tempoh PKP.

“Oleh itu, kami terus mencari alternatif untuk menjalankan perniagaan yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan dengan mewujudkan platform dalam talian pertama kami iaitu www.ayambismi2u.com. Pelanggan dapat membeli produk kami secara dalam talian di mana mereka boleh memilih untuk mengambil sendiri ayam dari kilang atau dihantar terus ke rumah mereka melalui khidmat penghantaran,” kataya.

Sementara itu, bagi Musleha, pengusaha kuih dan makanan tradisional yang menggunakan jenama Masri berkata, jika sebelum ini beliau lebih selesa menjalankan perniagaan di rumah, tetapi terpaksa mengubah strategi perniagaan dengan menerokai pasaran dalam talian untuk menjual produk makanannya sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Pada awal tempoh PKP, saya menjalankan operasi di rumah seperti biasa dan hanya menawarkan khidmat penghantaran produk ke rumah pelanggan, namun atas khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan daripada Agrobank saya ubah strategi dan menerokai platform e-dagang dan menambah ilmu cara menjalankan pemasaran dalam talian.

“Agrobank memberi bimbingan perniagaan cara untuk berniaga secara dalam talian, mengajar cara-cara penulisan untuk membuat pemasaran atas talian dan juga idea untuk mempelbagaikan jenis produk kepada produk yang menjadi keperluan pengguna ketika tempoh PKP dan Alhamdulillah hasilnya cukup memuaskan,” katanya.

Beliau turut mengakui sudah tiba masanya untuk usahawan PKS untuk menerokai platform e-dagang secara lebih serius dan mula bergerak seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa selain mempertingkatkan ilmu dan kemahiran untuk berniaga secara dalam talian.

Di sesi temubual khas itu juga, Mazlina turut menitipkan nasihat kepada usahawan lain agar mengikut resmi ayam kampung yang berjiwa kental dan berdikari untuk meneruskan kehidupan dalam apa juga keadaan.

Sesi temubual penuh UMBI AGRO: Usahawan Agro Selepas PKP: Adaptasi dan Pemulihan boleh ditonton di saluran rasmi Agrobank di laman YouTube, Agrobank TV.

Sepanjang bulan Jun ini juga, Agrobank turut meraikan kejayaan yang telah dicapai oleh usahawan Agrobank sama ada dalam sektor pertanian atau penternakan menerusi sesi bimbingan untuk usahawan PKS, sesi dialog PKS dan juga promosi produk PKS berkaitan yang dimuat naik di platform media sosial rasmi Agrobank seperti Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan YouTube.