AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terus Komited Bangunkan Sosio-Ekonomi Rakyat Sepanjang Fasa Pemulihan Negara dan Seterusnya



KUALA LUMPUR – Agrobank terus komited untuk menyokong pembangunan taraf sosio-ekonomi rakyat Malaysia, menerusi pelbagai inisiatif dan program keusahawanan yang dibangunkan khusus untuk memulihkan ekonomi dan perniagaan bagi golongan yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk komuniti yang terpinggir dan kurang mendapat liputan seperti golongan B40, wanita, orang kurang upaya dan asnaf, menerusi program-program pembangunan sosial yang dibentuk khas untuk memastikan nasib komuniti ini terus terjaga dan dibela.

“Kami teguh dengan prinsip dan pendirian kami untuk terus menyokong dan peka dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh para pelanggan khususnya usahawan mikro dan PKS serta rakyat Malaysia pada amnya menerusi pelbagai program pembangunan usahawan dan komuniti yang diadakan dengan usahasama strategik kami di Agrobank.”

“Ini bertujuan bagi memastikan agar komuniti ini terus didukung dan mampu meningkatkan status sosio-ekonomi semasa mereka, dalam keadaan semasa negara yang sedang beralih ke fasa endamik COVID-19,” katanya ketika memberikan responnya terhadap kenyataan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Kewangan baru-baru ini.

Menerusi kenyataan tersebut, Tengku Zafrul menyarankan supaya IKP memberikan sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan dengan memainkan peranan yang strategik dan penting dalam usaha negara untuk memulih dan memelihara kapasiti perniagaan disamping menyediakan pelbagai peluang.

Khadijah berkata, Agrobank sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, menyokong saranan Menteri Kewangan itu, yang turut menjadi intipati visi yang diperbaharui Bank iaitu Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan yang akan lebih memberi fokus untuk memajukan dan mengusahakan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, khususnya bagi memastikan nasib dan masa hadapan komuniti terpinggir dan kurang mendapat liputan terus diberikan perhatian.

Menurut Khadijah, Agrobank telah membantu ramai usahawan menerusi Dana Pembiyaan Mikro Kredit yang berjumlah RM350 juta menerusi pelan PENJANA kepada komuniti agro yang terjejas oleh COVID-19 yang disalurkan menerusi Agrobank pada Jun 2020. 

“Sehingga 31 Julai 2021, Agrobank telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM200.4 juta di bawah pembiayaan AgroMakanan PENJANA yang melibatkan kira-kira lebih 16,000 usahawan daripada komuniti Agro,” katanya.

Peruntukan ini telah pun disalurkan untuk membantu usahawan mikro yang terlibat dalam sektor agromakanan terutamanya komuniti agro di bawah kategori B40 yang terjejas kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menampung kos operasi perniagaan mereka dengan memberi peluang kepada usahawan mikro untuk mendapatkan modal pusingan bagi perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka tidak terputus.

Menurut Khadijah, Agrobank sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang permasalahan dan kesusahan yang dihadapi rakyat Malaysia dalam berhadapan tempoh sukar ini dan akan berusaha sebaik mungkin dalam menawarkan solusi yang terbaik kepada mereka, kerana impak daripada COVID-19 ini pastinya tidak mudah dihadapi oleh semua lapisan masyarakat, sama ada daripada kelompok B40, M40 mahupun T20.