AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terima Pengiktirafan Di Anugerah Global Good Governance 2017



DUBAI, UAE – Agrobank menerima satu lagi pengiktirafan daripada Anugerah Global Good Governance (Anugerah 3G) bagi kategori Anugerah Perkhidmatan Kewangan 3G. Pengiktirafan antarabangsa ini diberikan kepada Agrobank sebagai menghargai dan mengangkat usaha bank dalam rangkuman kewangan serta inisiatif yang diambil Agrobank bagi meluaskan lagi akses kewangan. Anugerah tersebut telah diterima oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank diiringi oleh Encik Jasni Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Kredit Agrobank sebagai wakil daripada pihak Bank. Majlis tersebut telah berlangsung di Dubai, UAE dan dihadiri seramai lebih daripada 400 orang tetamu dari serata dunia.

Anugerah ini diberikan kepada kerajaan, badan-badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) atas kecemerlangan daripada segi ketelusan, tadbir urus yang baik serta tanggungjawab sosial.

Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, Agrobank berbesar hati dengan pengiktirafan kali kedua ini oleh Anugerah 3G. ‘Agrobank sentiasa percaya bahawa rangkuman kewangan merupakan landasan yang memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan menyeluruh; membantu individu serta masyarakat bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ini merupakan aspirasi di dalam usaha kami iaitu dengan menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan terutamanya untuk masyarakat yang tiada dan kurang liputan (unserved dan underserved). Agrobank komited untuk meningkatkan rangkuman kewangan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan yang berkualiti pada kadar yang berpatutan.”

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, sebagai salah satu insentif untuk meningkatkan pengeluaran makanan, Agrobank menawarkan produk pembiayaan yang berinovatif dengan kadar keuntungan rendah, seperti ‘Skim Kredit Pengeluaran Makanan’, ‘Tabung Untuk Makanan (3F)’ dengan kadar 3.75% – iaitu kadar yang terendah di dalam negara. Selain itu, Agrobank juga mempunyai pembiayaan khas Hartani-i yang membiayai pembelian tanah pertanian dan pada tahun ini Agrobank turut memperkenalkan perlindungan takaful Agro Nurani khusus untuk orang kurang upaya (OKU) yang pertama di Malaysia.

“Pertanian sering dikaitkan sebagai satu bentuk perniagaan yang berisiko tinggi dan kurang mendapat perhatian kebanyakan institusi komersial. Agrobank komited dengan peranan yang dimandatkan iaitu untuk mengembangkan sektor pertanian bagi mendapatkan akses yang lebih baik dalam pembiayaan perniagaan yang berasaskan pertanian iaitu perniagaan daripada mikro kepada Industri Kecil Sederhana (IKS) sehingga perniagaan import dan eksport. Agrobank komited dalam usaha meningkatkan produk, perkhidmatan dan program bagi mencapai tahap keperluan perniagaan berasaskan pertanian. Ianya adalah sebagai sebahagian daripada peranan pembangunan Bank dan pada masa yang sama meneruskan peranan komersial kami untuk terus kekal sebagai satu entiti yang kukuh.” tambah Dato’ Wan Mohd Fadzmi lagi.

Agrobank mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 16.7% dengan nilai keseluruhan pembiayaan sebanyak RM8.685 bilion sekaligus menjadikan pencapaian terbaik Agrobank sepanjang lima tahun yang lepas.

Pada majlis yang sama, Tan Sri Mohamad Zabidi, Pengerusi Agrobank turut menerima pengiktirafan daripada Anugerah 3G Global Good Governance 2017.

Tan Sri Zabidi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah 3G sebagai mengiktiraf sumbangan beliau di dalam sektor perkhidmatan awam selama lebih dari 37 tahun.

Menurut Jawatankuasa Anugerah tersebut, mereka kagum dengan peranan Tan Sri Mohamad Zabidi di dalam usaha penambahbaikan transformasi sektor awam. Sebagai mantan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, (bersara pada Disember 2016), beliau merupakan pelopor kepada pelbagai transformasi bagi memastikan organisasi perkhidmatan awam lebih berprestasi tinggi. Beliau juga merupakan salah satu pendukung utama dalam transformasi sektor awam, selain mempunyai hasil penulisan sendiri dan berkongsi secara meluas mengenai pengalaman beliau di dalam sektor tersebut.