AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Tawarkan Bantuan Kepada Pelanggan Terjejas Banjir



KUALA LUMPUR, 22 DISEMBER 2021 – Agrobank hari ini mengumumkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan-pelanggan yang terkesan berikukan bencana banjir yang melanda negara menerusi pelan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam (6) bulan, khusus untuk pelanggan-pelanggan Bank yang layak. Pelan ini ditawarkan kepada pelanggan Agrobank yang terjejas akibat banjir di Pahang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Menurut Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Bantuan yang disediakan ini adalah untuk mengurangkan beban yang dihadapi oleh pelanggan-pelanggan Agrobank yang terkesan berikutan banjir.  Kami memahami cabaran yang dihadapi ketika situasi banjir ini yang menyebabkan pelbagai kerosakan pada harta benda, ladang dan kegiatan pertanian pelanggan kami.  Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan perniagaan mereka.  Oleh itu, pelan Bantuan Banjir Agrobank diharapkan dapat mengurangkan bebanan serta membantu para pelanggan kami yang terjejas dalam tempoh yang mencabar ini.”

“Ini merupakan saat yang sukar bagi rakyat Malaysia dan adalah penting untuk kami memberikan bantuan dalam apa jua cara yang mungkin. Berdasarkan pengumuman daripada Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, Agrobank juga akan menyediakan bantuan pembiayaan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan banjir menerusi Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) berjumlah RM200 juta di mana pembiayaan ini juga akan turut dikongsi bersama bank komersial, islam serta institusi kewangan pembangunan (IKP) lain,” kata Khadijah Iskandar.

“Kami sedar bahawa sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.  Justeru, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing. Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,” tambah Khadijah Iskandar.

Bantuan Banjir Agrobank yang ditawarkan untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi mangsa banjir ini merangkumi:

  • Moratorium pembiayaan – bagi pelanggan yang kehilangan punca pendapatan dan mengalami kemusnahan projek akan dipertimbangkan untuk mendapatkan penangguhan pembiayaan ansuran bulanan sehingga enam (6) bulan.
  • Penstrukturan dan/atau penjadualan semula pembiayaan (R&R) untuk pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir.
  • Pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.
  • Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022) di bawah BNM – pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan RM75,000 bagi setiap usahawan mikro dengan kadar keuntungan 3.5% setahun termasuk fi (bermula daripada 27 Disember sehingga peruntukan sebanyak RM200juta digunakan sepenuhnya).

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau e-mail ke customer@agrobank.com.my atau layari www.agrobank.com.my