Agrobank Perkenal Kemudahan Tunai Eksklusif Untuk Kakitangan Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Serta Agensi-Agensinya
Agrobank hari ini melancarkan Program Skim Istimewa Kakitangan Kerajaan, iaitu program pembiayaan kemudahan tunai (cashline) eksklusif khas untuk kakitangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi-agensinya yang mempunyai akaun gaji di Agrobank. Program ini menawarkan kemudahan tunai sehingga RM15,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun dengan kadar keuntungan kompetitif iaitu Kadar Asas Standard (KAS) + 3.45% setahun.
Kemudahan ini distrukturkan di bawah pembiayaan Islamik Tawarruq yang menggabungkan pengkreditan gaji dan akses kemudahan tunai melalui satu akaun. Pelanggan boleh menikmati transaksi lancar di seluruh negara melalui rangkaian cawangan Agrobank, mesin ATM, perkhidmatan AGROAgent serta perbankan Internet AGRONet.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata, “Program ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menyokong kakitangan KPKM dan agensi-agensinya yang memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif pertanian mampan serta keterjaminan makanan di Malaysia. Dengan menyediakan akses mudah kepada pembiayaan kecemasan untuk penjawat awam serta mengukuhkan asas deposit yang stabil, Agrobank turut menyumbang kepada pemerkasaan ekosistem kewangan yang menyokong matlamat pembangunan pertanian negara.”
Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.