AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Expands Farmer Protection with the Launch of STTP in Sabah



Agrobank hari ini melancarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di Sabah bertujuan memperluaskan perlindungan kewangan kepada pesawah di seluruh negara.

STTP yang diperkenalkan sejak September 2024 menawarkan perlindungan patuh Shariah sehingga RM3,000 bagi kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 bagi serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman – jauh lebih tinggi berbanding skim bantuan bencana sedia ada.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup, “Sehingga 30 April 2025, seramai 5,642 pesawah di Sabah telah mendaftar dan mendapat perlindungan STTP. Manakala lebih 19,000 pesawah masih belum berdaftar, termasuk 6,602 individu yang masih belum mempunyai akaun Agrobank.”

Jelasnya lagi skim tersebut ditawarkan dengan kadar caruman yang berpatutan iaitu sebanyak RM64.80 per hektar per musim dan buat masa sekarang kadar caruman tersebut akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menyeru dan menggesa agar pesawah yang masih belum berdaftar untuk segera berdaftar agar kita tidak ketinggalan daripada mendapatkan perlindungan tersebut. Sehingga Mac 2025, sejumlah RM 16.2 juta pampasan telah diluluskan bagi membantu meringankan beban seramai 6,319 pesawah dari seluruh negara yang terkesan akibat bencana.

“Pelancaran STTP di Sabah adalah bukti komitmen Agrobank dalam memastikan tiada pesawah yang terpinggir daripada perlindungan kewangan yang amat diperlukan. Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti pesawah dan akan terus melaksanakan peranan kami sebagai penyedia solusi kewangan yang inklusif dan menyeluruh untuk sektoragromakanan.”

Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makananan (KPKM) menyambut baik usaha Kerajaan Sabah dengan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) sebagai rakan strategik yang akan membantu memperkukuhkan pengurusan industri padi dan beras yang lebih tersusun, cekap dan berdaya saing di Sabah selaras dengan matlamat Kementerian untuk terus meningkatkan keterjaminan makanan negara dan memperkukuh rantaian nilai agro-makanan.

LPBS memberi tumpuan kepada peningkatan hasil padi dan pembangunan sawah baharu, manakala STTP menyediakan jaring keselamatan kewangan kepada pesawah yang terdedah kepada risiko luar jangka. Kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi dan menjadi komponen penting dalam memperkukuh ekosistem tanaman padi di Sabah.

Agrobank akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai STTP melalui kerjasama dengan agensi peladang tempatan, selain memperluaskan akses perkhidmatan kewangan kepada para pesawah.