AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Lancar Kerjasama Strategik Perkasa Industri Ternakan Negara



Agrobank dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini memeterai kerjasama strategik yang bertujuan memperkasa penternak ruminan dengan menyediakan kemudahan pembiayaan khusus serta sokongan geran padanan kerajaan sehingga 90%.

Kerjasama ini dimeterai oleh Dr. Mohd Noor Hisham bin Mohd Haron, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Penilaian Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, dan disaksikan oleh Datuk Yunos Abd Ghani, Pengerusi Kumpulan Agrobank.

“Inisiatif ini bukan sekadar penyediaan pembiayaan, tetapi merupakan satu sistem sokongan menyeluruh kepada agropreneur kita,” kata Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. “Dengan pengurangan beban modal permulaan, pembiayaan mudah akses dan sokongan teknikal yang berterusan, kami komited untuk mentransformasikan sektor ruminan negara menjadi industri yang moden, inklusif dan mampan.”

Kerjasama ini merangkumi tiga program utama pembangunan industri ruminan peringkat kebangsaan, iaitu Program Pengganda 30 bagi penternak lembu pedaging, Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara bagi penternak lembu tenusu dan Program Peningkatan Ruminan Kecil bagi penternak kambing dan bebiri. Di bawah inisiatif ini, Agrobank akan menyediakan kemudahan pembiayaan bersasar untuk perolehan ternakan, kelengkapan ladang dan pembangunan infrastruktur. DVS akan melaksanakan penyaluran bantuan geran secara imbuh balik dengan nisbah seperti 90:10, 80:20 dan 70:30 bergantung kepada program yang terlibat. DVS turut melaksanakan pemantauan lapangan, latihan teknikal dan khidmat nasihat bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian pelaksanaan program.

Kerjasama ini menyokong sepenuhnya aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0). Kedua-dua dasar negara ini memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh keterjaminan makanan, memodenkan keusahawanan tani secara inklusif, mengurangkan kebergantungan kepada daging dan tenusu import serta memperkasakan ekonomi berasaskan agro terutamanya di kawasan luar bandar. Agrobank menjangkakan inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada ratusan agropreneur di seluruh negara dalam tahun pertama pelaksanaannya, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Inisiatif ini telah dilancarkan secara rasmi bersempena dengan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.