AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Terus Membantu Perniagaan Mikro Harungi Pandemik COVID-19



KUALA LUMPUR – Agrobank terus menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggannya terutama pelanggan mikro dengan menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

Sehingga hari ini, Agrobank telah meluluskan lebih 9,000 permohonan untuk penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) dan ini merangkumi lebih 8,000 permohonan daripada pelanggan mikro dan lebih 1,000 permohonan daripada pelanggan korporat, komersial, dan pengguna yang memohon sokongan kewangan tambahan untuk meredakan aliran tunai mereka kesan daripada penularan wabak COVID-19.

Inisiatif bantuan pembayaran balik bersasar ini adalah sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2021 baru-baru ini oleh Menteri Kewangan mengenai penguatkuasaan Bantuan Pembayaran Sasaran untuk pelanggan B40, M40 dan PKS.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, berdasarkan Belanjawan 2021, pertanian terus menjadi komponen ekonomi yang sangat penting bagi negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.7 bilion untuk memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan.

Sebilangan besar inisiatif ini telah dirangka dengan baik untuk memberi manfaat kepada komuniti agro yang melibatkan semua segmen utama seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kedua-dua kumpulan pendapatan Bawah 40% (B40) dan Pertengahan 40% (M40).

“Sebahagian besar peruntukan yang diumumkan untuk industri pertanian dan makanan mengfokuskan kepada pemulihan perniagaan komuniti agro terutamanya mereka yang dikategorikan di bawah B40 dan PKS. Oleh itu, kami mengalu-alukan para pelanggan kami untuk datang ke mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negara, mengadakan perbincangan secara bersemuka untuk lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang ada, bagi membantu mereka melalui tempoh pemulihan COVID-19 ini”

“Di saat semua orang sedang berhadapan saat yang sukar, keutamaan segera kami adalah untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik dengan memberikan sokongan dan fleksibiliti kepada para pelanggan kami yang mungkin sedang memasuki fasa ketidaktentuan kewangan pada ketika ini. Pengumuman Belanjawan 2021 ini adalah sebahagian daripada program bantuan yang lebih luas yang kami harapkan dapat membantu para pelanggan kami terutamanya kelompok berpendapatan B40 dan M40 dalam tempoh yang mencabar ini.”

Untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan bantuan pembayaran bersasar ini, individu B40 mesti berdaftarkan di bawah program bantuan tunai, Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sementara individu M40 mesti berdaftar di bawah BPR manakala bagi perusahaan mikro, mereka mestilah syarikat yang mempunyai kemudahan pembiayaan yang diluluskan hingga RM150, 000, sepertimana yang ditetapkan oleh SME Corp Malaysia.

Dengan situasi pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini yang turut memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, kami ingin mengalu-alukan semua pelanggan kami untuk menghubungi pengurus cawangan atau pegawai perhubungan masing-masing untuk membincangkan penyelesaian untuk mengatasi segala permasalahan kewangan yang mungkin sedang mereka hadapi.

“Kami di Agrobank akan terus responsif kepada perubahan keperluan mereka dan akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.”

Untuk memenuhi syarat bagi inisiatif ini, individu B40 dan perusaha mikro tidak perlu untuk menyerahkan sebarang dokumen kepada Agrobank sementara individu M40 yang berdaftar di pangkalan data BPR, hanya memerlukan membuat pengisytiharan kendiri untuk memohon bantuan pembayaran balik mereka.

Di bawah inisiatif ini, kumpulan ini boleh mendapat penangguhan ansuran bulanan sehingga tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan hingga 50% untuk tempoh selama enam bulan.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lebih lanjut berkaitan bantuan pembayaran balik Agrobank, boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan di 1300 88 2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my, atau menghubungi pegawai perhubungan atau cawangan masing-masing, atau layari www.agrobank.com.my.