Agrobank Sambut Baik Usaha Kerajaan Memacu Pertumbuhan Sektor Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Agrobank mengalu-alukan dan menyambut baik usaha kerajaan memperkukuh sektor agro negara menerusi peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Saya berterima kasih kepada PMX yang menitikberatkan perbelanjaan usahawan agro dengan peruntukan yang memberangsangkan pada tahun ini sejajar dengan aspirasi memperkukuh aktiviti pertanian dan bekalan rantaian nilai makanan negara. Peruntukan besar kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan dalam Belanjawan 2026 adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna.”
Beliau turut berkata, “Menerusi Belanjawan 2026, peruntukan sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk Agrobank yang menyasarkan usahawan tani bagi mengembangkan perniagaan serta menyokong automasi dan mekanisasi. Peruntukan besar ini bukan sahaja menyokong pemain industri, malah turut membantu meningkatkan produktiviti
mereka dan memastikan kelangsungan sektor pertanian sebagai tunjang kepada keselamatan makanan negara.”
“Program Agropreneur NextGen KPKM menyediakan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian dengan dana RM20 juta. Kami turut mendukung cadangan Kerajaan dalam menawarkan syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.”
“Selain itu, ia termasuk juga tawaran kepada syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 5 tahun. Bagi menggalakkan automasi untuk menambah produktiviti tanaman, Kerajaan bercadang galakan cukai automasi sektor pertanian bagi penanaman, penternakan, apikultur, akuakultur dan perikanan laut dalam turut diperluas kepada penternakan haiwan terpilih secara sistem reban tertutup,” tambah beliau.
Sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP), Agrobank akan terus berganding bahu dengan kerajaan dan KPKM untuk memperkukuh sektor ini. Tanggungjawab kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi juga menyokong kehidupan dan membina masa depan. Bagi kami, Belanjawan 2026 bukan sekadar angka. Ia adalah harapan buat semua komuniti tani yang terlibat dalam sektor agromakanan.