Agrobank Rai Pemenang Kempen Mega Million 2.0 Cabutan Pusingan 3
Agrobank hari ini telah menganjurkan Majlis Penyerahan Hadiah bagi Kempen Mega Million 2.0 Pusingan 3 untuk meraikan para pemenang bagi bulan Mei, Jun dan Julai 2025.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Kempen Mega Million 2.0 menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM2.5 juta. Sejak pelancaran kempen ini, sambutan peserta amat menggalakkan dengan peningkatan ketara dalam langganan produk-produk Agrobank. Sebagai contoh, produk deposit telah mencatat peningkatan sehingga 118%. Menjelang penghujung kempen
ini, kami menjangkakan pencapaian produk deposit akan melonjak kepada 140%. Selain itu, pembiayaan Ar-Rahnu telah mencatat pertumbuhan melebihi RM600 juta dan kelulusan Pembiayaan Peribadi AgroCash-i telah melebihi RM2 bilion.”
“Bagi merancakkan lagi kempen ini, setiap penyertaan sepanjang tempoh 1 September hingga 31 Oktober 2025 akan menerima dua kali ganda mata penyertaan, sekali gus meningkatkan peluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Setakat ini, seramai 160 orang pemenang telah menerima hadiah berupa kereta, wang tunai atau kepingan emas. Daripada jumlah tersebut, enam pemenang telah berjaya membawa pulang kereta yang ditawarkan iaitu Mitsubishi Xpander, Proton S70 dan Perodua Myvi. Lebih menarik, cabutan utama menawarkan hadiah eksklusif berupa Ford Ranger Raptor kepada seorang pemenang bertuah, yang bakal diumumkan pada pusingan akhir.”
“Kempen ini memainkan peranan penting dalam mempromosikan rangkaian produk Agrobank yang komprehensif di pasaran serta menggalakkan rakyat Malaysia menanam tabiat menabung sebagai persediaan masa depan yang lebih terjamin.”
Kempen Mega Million 2.0 yang telah dilancarkan sejak 1 November 2024 akan berterusan sehingga 31 Oktober 2025. Ianya terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Agrobank, termasuk individu dan bukan individu. Kempen ini melibatkan produk-produk Agrobank termasuk Ar-Rahnu, AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i, Takaful Kasih Plus, Agro Madani, Agro Nurani, Penulisan Wasiat dan Motor Takaful.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai Kempen Mega Million 2.0 dengan mendapatkan maklumat lanjut di www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan.
Bagi Kempen Mega Million 2.0 Pusingan 3, seramai tiga (3) pemenang bulanan telah membawa pulang Mitsubishi Xpander, Proton S70 dan Perodua Myvi.