Agrobank Taja Biasiswa Madani Bernilai RM416,500 Kepada 10 Orang Pelajar Cemerlang
Agrobank hari ini menganugerahkan Biasiswa Madani Agrobank bernilai RM416,500.00 kepada 10 orang pelajar cemerlang yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam. Sejak 2013, Agrobank telah memberi manfaat bantuan kewangan kepada 54 orang pelajar terpilih yang memenuhi syarat kelayakan dan mempunyai rekod akademik yang cemerlang.
Penerima Biasiswa Madani Agrobank terdiri daripada para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti tempatan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA, (UiTM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata dalam Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Madani Agrobank, “Akses kepada pendidikan berkualiti memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara. Pendidikan melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif dan mahir dalam pelbagai bidang, sekali gus mampu menyumbang kepada kemajuan yang mampan. Ia bukan
sahaja memperkasa individu dari segi teori tetapi juga kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa.”
“Masalah kewangan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada generasi muda untuk melanjutkan pelajaran. Justeru itu, biasiswa ini memastikan mereka dapat merealisasikan aspirasi kerjaya tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Agrobank terhadap tanggungjawab sosial korporat, malah merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan bakat muda yang berpotensi menyertai Young Talent Program (YTP) Agrobank bagi mencungkil bakat kepimpinan mereka.”
“Para penerima Biasiswa Madani Agrobank yang telah hadir pada hari ini adalah dalam kalangan anak petani dan kategori B40 yang lain. Usaha ini sejajar dengan misi Agrobank untuk memperkasa keperluan komuniti unserved dan underserved. Melalui pelaburan dalam bidang pendidikan, Agrobank memperlihatkan komitmennya dalam menyokong komuniti yang kurang diberi perhatian, seterusnya memastikan peluang untuk kemajuan tidak lagi terbatas oleh faktor geografi mahupun kewangan. Ini menyumbang ke arah sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan saksama yang seterusnya mewujudkan impak jangka panjang terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi.”
Agrobank terus komited melangkaui peranan sebagai penyedia perkhidmatan kewangan dengan menyumbang semula kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang menyokong individu daripada pelbagai latar belakang. Melalui pemerkasaan pendidikan, Agrobank memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi masa depan yang bersedia mendepani cabaran serta mencungkil bakat untuk pembangunan pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang pertanian dan agromakanan.