AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Umum Pemenang Pertandingan Video Agrobank Dengan Nilai Hadiah Keseluruhan Berjumlah RM20,000



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini mengumumkan lima belas pemenang bertuah bagi Pertandingan Video Agrobank yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang lalu, dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, pertandingan video yang bertemakan “Apa Khabar Malaysia? Ceritakan Kepada Kami” ini merupakan satu inisiatif oleh Agrobank untuk mendekati rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan mendengar luahan hati mereka sepanjang berhadapan dengan kemelut dan cabaran penularan pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu. Inisiatif ini juga turut bertujuan untuk membuka peluang mudah kepada rakyat Malaysia bagi memenangi hadiah wang tunai yang lumayan.

“Saya percaya dengan menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan kehidupan atau dapat dijadikan modal permulaan untuk memulakan sebarang perniagaan baharu, bergantung kepada keperluan masing-masing.”

“Sebagai sebuah bank yang begitu dekat dengan rakyat Malaysia, kami di Agrobank secara berterusan akan terus membuka lebih banyak peluang menganjurkan program-program mudah seperti ini, yang bukan sahaja bertujuan untuk memupuk kemahiran kreatif, namun untuk turut membuka peluang kepada mereka untuk memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan oleh Agrobank,” tambah Khadijah lagi.

Pertandingan Video Agrobank yang berlangsung sepanjang 16 Ogos ke 16 September lalu, menerapkan lima elemen utama sebagai tema pertandingan iaitu budaya Malaysia yang unik, makanan tradisional Malaysia, aktiviti pertanian, pengalaman menghadapi pandemik dan semangat rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan keadaan semasa.

Lima pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai di antara RM1,000 ke RM5,000 bagi setiap pemenang, manakala 10 penyertaan turut dipilih untuk memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM500 bagi setiap pemenang. Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang utama ini telah disempurnakan oleh Khadijah di satu majlis tertutup di Auditorium Tun Ahmad Sarji, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang pada minggu lalu.

Lima pemenang utama bagi Pertandingan Video Agrobank “Apa Khabar Malaysia? Ceritakan Kepada Kami” adalah:

Tempat Pertama: Muhammad Azeem Bin Mohd Lenin (Hadiah Wang Tunai RM5,000) 

Tempat Kedua: Isyraq Nur Hazriq Bin Mohd Fadzludin (Hadiah Wang Tunai RM4,000) 

Tempat Ketiga: Syahiran Bin Sukardi (Hadiah Wang Tunai RM3,000)

Tempat Keempat: Sonny Ikmal Bin Ahmad Kamil (Hadiah Wang Tunai RM2,000) 

Tempat Kelima: Marham Bin Mohd Yusof (Hadiah Wang Tunai RM1,000) 

Menurut Muhammad Azeem, pemenang tempat pertama pertandingan ini, “Saya berasa terpanggil untuk menyertai pertandingan ini kerana ingin berkongsi akan cabaran yang dihadapi oleh nelayan-nelayan kecil di Malaysia dan peranan besar yang telah dimainkan oleh Agrobank sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini. Bak kata Encik Safie dalam video yang saya hantar bagi pertandingan ini, Agrobank sahajalah institusi perbankan yang sanggup mengambil risiko untuk memberikan pembiayaan kepada warga nelayan dan ini merupakan sisi pandang Agrobank yang tidak diketahui ramai khususnya generasi muda.”

Berkongsi kisahnya pula, Isyraq Nur Haziq menzahirkan rasa penuh kesyukuran kerana terpilih memenangi tempat kedua, “Hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM4,000 ini pastinya sangat besar nilainya bagi seorang pelajar seperti saya. Insha Allah, saya akan menggunakan hadiah kemenangan ini sebaiknya untuk membeli peralatan rakaman yang lebih baik seperti sebuah kamera. Peralatan rakaman yang lebih baik dapat menambah motivasi untuk saya menghasilkan video yang lebih berkualiti pada masa akan datang.”

Pertandingan Video Agrobank yang berdurasi tiga minit bagi setiap video ini telah menerima 150 penyertaan daripada rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang. Lima video yang memenangi hadiah utama bagi Pertandingan Video Agrobank “Apa Khabar Malaysia? Ceritakan Kepada Kami ini boleh ditonton di laman YouTube rasmi Agrobank, AgrobankTV.