AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sumbang RM58,000 Perkasa Pelajar B40 di Kedah Melalui Program Tuisyen Intensif SPM



Agrobank telah memperuntukkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM58,000 kepada lima buah sekolah terpilih
sekitar Alor Setar bagi menyokong Program Tuisyen Intensif SPM dan bimbingan motivasi kepada para pelajar terutama dari kalangan golongan B40 dan keluarga pesawah.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen Agrobank untuk memperkasakan generasi muda, khususnya anak-anak pesawah, petani dan komuniti B40 yang menjadi tunjang masa depan ekonomi negara.”

“Agrobank bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pesawah dan petani, tetapi kami juga menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka. Melalui pendidikan yang berkualiti, ia memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan walaupun para pelajar berasal dari latar belakang yang kurang berkemampuan. Kami berbesar hati dapat membantu seramai 200 orang pelajar melalui program ini dengan peruntukan RM58,000.”

Beliau turut menambah, “Lima buah sekolah yang terpilih bagi program ini ialah SMJK Keat Hwa, SMK Simpang Kuala, SMK Tajar, SMK St. Michael dan SMK Tunku Abdul Rahman. Program Tuisyen Intensif SPM ini akan berlangsung selama 10 minggu, diadakan setiap Sabtu atau Ahad, bertempat di sekolah-sekolah tersebut.”

Program Tuisyen Intensif SPM ini direka khusus untuk membantu para pelajar membuat persiapan rapi menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang serta meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Melalui usaha berterusan seperti ini, Agrobank berharap ia dapat melahirkan pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan menjamin kesejahteraan masa depan komuniti B40.