Agrobank Peruntuk RM50 Juta Bantu Lebih 4000 Usahawan Mikro Melalui Program AgroPintar
Agrobank hari ini melancarkan Program Agro Pintar Niaga (AgroPintar) yang merupakan sebuah inisiatif merangkumi pembiayaan, padanan geran i-Tekad dan latihan keusahawanan bagi membantu usahawan mikro mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka secara mampan.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program AgroPintar yang dirangka secara menyeluruh ini merangkumi pembiayaan, padanan geran i-Tekad serta modul asas keusahawanan dan etika perniagaan. Ia turut menekankan aspek literasi kewangan yang meliputi pengurusan kewangan, pengurusan risiko kredit serta kawalan hutang. Matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuh daya saing serta kecekapan usahawan mikro dalam membuat keputusan perniagaan yang lebih bijak dan berkesan.”
Beliau turut berkata, “Melalui pelaksanaan Program AgroPintar ini, Agrobank memperuntukkan sebanyak RM50 juta khusus bagi menyediakan akses pembiayaan mikro beserta geran padanan i-TEKAD bernilai RM5 juta kepada para usahawan, meliputi Pembiayaan Perniagaan Usahawan Mikro dan Pembiayaan Ladang Kontrak. Peruntukan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 4,000 usahawan mikro yang berkelayakan, terutamanya dari kalangan golongan berpendapatan rendah.”
“Agrobank percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan memberi impak positif dari segi ekonomi, malah mampu merangsang pertumbuhan sosial dalam kalangan usahawan mikro. Dengan bimbingan berstruktur, para peserta program akan dilengkapkan dengan kemahiran membuat keputusan kewangan dan perniagaan secara bijak, seterusnya meningkatkan kebolehupayaan mereka dalam mengurus pelbagai aspek perniagaan secara efisien. Tambahan pula, pemantauan terhadap perkembangan dan keberkesanan program akan dijalankan selepas enam (6) bulan penyertaan usahawan.” tambahnya.
Program yang dikendalikan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE) dan Jabatan Mikro Agrobank ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Agrobank dalam memperkasa usahawan mikro di seluruh negara, selaras dengan hasrat untuk memupuk golongan usahawan yang berdaya tahan, progresif dan lestari dalam jangka masa panjang.
Dalam majlis yang sama, Agrobank turut melancarkan Video Bersiri Celik Kewangan dengan kerjasama strategik bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN). Video yang mengandungi 12 episod ini menampilkan pempengaruh media sosial, Sir Asai. Inisiatif ini direka khas untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pelajar sekolah melalui pendekatan yang menarik dan mudah difahami. Program ini juga bertujuan memupuk budaya pengurusan kewangan yang sihat melalui amalan 3S iaitu Spend, Save and Share, khususnya di kalangan generasi muda.