AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkukuh Rangkuman Kewangan Komuniti Luar Bandar Melalui Inisiatif Bank Bergerak



Agrobank hari ini melancarkan perkhidmatan bank bergeraknya sebagai inisiatif untuk memudahkan komuniti luar bandar mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank sentiasa komited untuk memperkukuh peranannya dalam pembangunan luar bandar dengan matlamat utama untuk mencapai keterangkuman kewangan. Kami amat berbesar hati dapat menyediakan perkhidmatan bank bergerak bagi memastikan pelanggan menikmati akses perbankan yang lebih mudah, efisien dan inklusif.”

“Setakat ini, enam unit bank bergerak telah ditempatkan di Sabah, Sarawak dan Kelantan. Secara umumnya, perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dengan populasi sekitar 5,000 hingga 10,000 penduduk. Keadaan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya inisiatif ini dalam membantu masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan akses terhadap kemudahan perbankan.”

“Di Kelantan, jarak antara penempatan penduduk di kawasan pedalaman dengan cawangan perbankan terdekat boleh mencecah 30 kilometer atau kira-kira 40 minit perjalanan sehala. Keadaan ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan asas. Justeru, inisiatif bank bergerak kami yang meliputi kawasan sekitar Kota Bharu, Jeli, Machang, Bachok dan Kuala Krai amat signifikan sebagai saluran utama penyediaan perkhidmatan kewangan kepada masyarakat setempat, khususnya dari kawasan pedalaman. Antara perkhidmatan yang ditawarkan melalui inisiatif ini adalah termasuk penyimpanan dan pengeluaran wang, pembukaan akaun simpanan, pendaftaran takaful, pembayaran bil utiliti dan khidmat nasihat pembiayaan.”

Komitmen Agrobank dalam memperluaskan rangkaian bank bergerak ini jelas mencerminkan usaha berterusannya dalam menyediakan perkhidmatan solusi inovatif dan berfokuskan pelanggan, sejajar dengan keperluan komuniti luar bandar di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 sempena pelancaran Kampung Angkat Madani. Sumbangan ini disalurkan kepada 50 keluarga terpilih di beberapa kampung sekitar Kelantan, iaitu Kampung Pantai Mek Mas, Kampung Pantai Kundur dan Kampung Kuala Besar. Selain itu, Agrobank turut menyalurkan sumbangan zakat bernilai RM10,000 yang memberi manfaat kepada 100 orang pelajar asnaf dari Sekolah Kebangsaan Pulau Kundor, Kota Bharu.

Program Kampung Angkat Madani ini bertujuan merapatkan jurang antara desa dan bandar dengan melengkapkan kemudahan asas penduduk demi meningkatkan taraf hidup mereka. Agrobank berharap sumbangan zakat yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga, khususnya dalam memenuhi keperluan asas harian mereka.