AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkasa Landskap Perbankan Digital Melalui Pembukaan Akaun Atas Talian



Agrobank melangkah ke arah perbankan digital telah melancarkan perkhidmatan pembukaan akaun atas talian; sebuah sistem perbankan inovatif yang mempertingkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan proses pembukaan akaun yang lebih lancar, pantas dan mudah berbanding kaedah tradisional.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan kecekapan proses yang lebih mesra pelanggan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai jadual seharian yang padat atau tinggal di kawasan yang jauh dari kemudahan perbankan fizikal.”

“Menyedari cabaran ini, Agrobank menyediakan penyelesaian inovatif melalui pembukaan akaun dalam talian yang membolehkan pelanggan membuka akaun deposit serendah RM20 pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Dengan memanfaatkan liputan internet yang meluas, para pelanggan tidak perlu lagi membuka akaun bank di cawangan Agrobank secara fizikal. Pendekatan digital ini turut membantu mengurangkan kos operasi bank sehingga 30% melalui pemansuhan proses manual, penggunaan kertas dan memperluaskan perkhidmatan secara digital selain di cawangan secara fizikal.”

“Kemudahan akses perbankan dalam talian ini turut dapat menjangkau lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman, dalam mendapatkan perkhidmatan Agrobank dengan lebih mudah dan efisien. Ini selaras dengan matlamat kami untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam agenda kewangan inklusif negara.”

“Agrobank mensasarkan pembukaan akaun secara digital meningkat antara 10% hingga 15% dalam tempoh tiga bulan pertama dengan sasaran 1,500 akaun baharu dan seterusnya mencapai peningkatan 20% dalam tempoh enam bulan. Pelaksanaan inisiatif ini mensasarkan golongan belia, petani dan komuniti yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan.”

“Perkhidmatan perbankan digital ini membolehkan proses pembukaan akaun diselesaikan dalam tempoh sekitar 10 minit sahaja. Ia sekali gus menjimatkan masa pelanggan antara 60% hingga 75%, berbanding kaedah tradisional di kaunter yang lazimnya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit.”

“Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat penduduk yang menetap di kawasan yang mempunyai liputan internet yang terhad. Justeru, Agrobank turut memperkenalkan inisiatif pembukaan akaun menggunakan iPad yang dikenali sebagai AgroTouch yang disokong oleh teknologi satelit Starlink yang membolehkan penyambungan internet walaupun di lokasi terpencil. Pendekatan ini bukan sahaja lebih inklusif, malah menawarkan pengalaman yang lebih bersifat peribadi dan mesra pelanggan dimana kakitangan Agrobank sendiri akan turun padang bersama AgroTouch dan peralatan Starlink untuk membantu proses pembukaan akaun di lokasi pelanggan. Namun begitu, penduduk juga masih mempunyai pilihan untuk mengunjungi mana-mana cawangan Agrobank untuk membuka akaun menggunakan kemudahan AgroTouch,” tambah beliau.

Landskap perbankan digital terus merevolusikan sektor kewangan di Malaysia melalui inisiatif-inisiatif seperti pembukaan akaun atas talian, pembayaran tanpa tunai dan perbankan internet yang memudahkan urusan pengguna serta memperkukuh daya saing institusi kewangan. Selari dengan agenda transformasi digital, inisiatif pembukaan akaun atas talian memperkukuh kedudukan Agrobank sebagai peneraju dalam meluaskan akses dan penyediaan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan pelanggan, terutamanya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan kewangan, sila hubungi Pusat Panggilan Agrobank di 1-300-88-2476 atau layari laman web www.agrobank.com.my.