AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Melancarkan Cawangan Hijau Pertama di Bagan Serai, Perintis kepada Kelestarian



Agrobank telah merasmikan cawangan hijau pertamanya di Bagan Serai pada hari ini. Cawangan ini merupakan inisiatif penting dalam menunjukkan komitmen institusi terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar.

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, dengan kehadiran Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

“Pembukaan Cawangan Hijau ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha mencapai pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” ujar Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah. “Melalui pembaharuan operasi serta sokongan terhadap pelanggan dalam amalan lestari, kami bukan sahaja dapat mengurangkan jejak karbon terhadap alam sekitar, malah menjadi perintis kepada perubahan dalam sektor pertanian di seluruh Malaysia.”

Pelancaran ini sejajar dengan visi baharu Agrobank dalam merealisasikan institusi kewangan terkemuka di Malaysia yang mencapai Karbon Sifar Bersih pada masa hadapan melalui penyelesaian inovatif, pelaburan bertanggungjawab dan penjagaan alam sekitar.

Cawangan Bagan Serai menggambarkan komitmen Agrobank terhadap penjagaan alam sekitar melalui beberapa inisiatif hijau. Cawangan ini dilengkapi dengan sistem solar, sistem pengumpulan air hujan 350 liter untuk kegunaan am dan landskap, sistem penyejukan cekap tenaga serta sistem pencahayaan LED yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Melalui inisiatif ini, ia dapat mengurangkan bil air dan elektrik bulanan sebanyak 45%.

Agrobank turut merangka beberapa inisiatif strategik untuk mencapai visi kelestariannya, termasuk program offset karbon yang merangkumi stesen pengecasan kenderaan elektrik, kemudahan kitar semula, pinjaman kenderaan elektrik tanpa faedah, Pemeteran Tenaga Bersih, sokongan pertanian bandar dan kerjasama dengan pengeluar produk mesra alam. Pihak bank juga sedang meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, khususnya sistem Solar PV di samping memperkukuh sokongan kewangan untuk teknologi pertanian lestari seperti pertanian bandar berketepatan tinggi, sistem bioflok akuakultur dan reban telur ayam automatik.

Cawangan Hijau Bagan Serai akan menjadi sebuah model perbankan lestari masa depan di seluruh Malaysia. Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi Agrobank yang lebih meluas untuk menyelaraskan operasinya yang selaras dengan matlamat alam sekitar negara di samping mengukuhkan komitmen untuk menyokong komuniti tani. Majlis perasmian ini turut menyediakan pameran pendidikan berkaitan produk kewangan yang lestari serta demonstrasi teknologi hijau secara interaktif. Ini menunjukkan peranan Agrobank sebagai penghubung antara sektor kewangan dan tanggungjawab kepada alam sekitar.

Selaras dengan pelancaran cawangan hijau, dua inisiatif yang menyumbang kepada komuniti telah dilaksanakan. YB. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad, diiringi oleh Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, telah menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM80,988.00 kepada sepuluh buah masjid dan surau di sekitar kawasan Bagan Serai. Selain itu, Agrobank menyerahkan manfaat perlindungan Takaful sehingga RM665,000.00 kepada tiga waris peserta. Ini sekali gus menunjukkan pendekatan bank yang menyeluruh terhadap tanggungjawab sosial korporat.