32 Kakitangan Agrobank Berjaya Menerima Sijil Pertanian Agrobank-UPM 2024
Seramai 32 orang kakitangan Agrobank menerima sijil graduasi kumpulan kelima selepas menamatkan pengajian dalam Agrobank UPM Agriculture Certification Program (AUACP). Program ini memberi pendedahan kepada warga kerja Agrobank yang tidak mempunyai latar belakang pertanian untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal bagi memastikan kecekapan perkhidmatan mereka.
Menurut Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, “Program tujuh bulan ini dilaksanakan secara separuh masa melalui kerjasama Jabatan Akademi Agrobank dan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia sejak 2017. Seramai 132 peserta telah mendapat manfaat daripada pembelajaran holistik bidang pertanian yang merangkumi aspek teori dan praktikal.”
Beliau turut berkata, “Sebagai contoh, program ini diperkasa dengan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui lawatan ke premis perniagaan-tani terpilih di Pahang dan Terengganu, termasuk Pekan Sehari Temerloh, kolam ikan, ladang vanilla, dan ladang melon. Usaha ini diharapkan melahirkan lebih ramai warga kerja Agrobank yang berpengetahuan luas dalam bidang pertanian.”
“32 graduan Agrobank yang berjaya menerima sijil pada hari ini telah membuktikan bahawa
dengan semangat yang kental dan komitmen yang tinggi, kejayaan pasti boleh dicapai. Pencapaian ini tidak mudah untuk diraih kerana kursus ini dilaksanakan secara separuh masa untuk memastikan komitmen dan tanggungjawab di tempat kerja terus diutamakan,” tambah beliau.
Sebagai institusi korporat utama dalam sektor agromakanan, Agrobank komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia dalam usaha membangunkan sektor pertanian dan menyokong Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 bagi memenuhi keperluan pengeluaran makanan negara.