AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Skim Pembiayaan Padi Madani (SPPM) Agrobank Beri Manfaat Perlindungan Takaful



SEKINCHAN, 19 JULAI 2023 – YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam telah melancarkan Dana Skim Pembiayaan Padi Madani (SPPM) bernilai RM100 Juta di bawah kendalian Agrobank dalam Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor.

Dana berkonsepkan kemudahan pembiayaan tanpa cagaran bagi membiayai modal pusingan penanaman padi ini ditawarkan kepada pesawah yang mempunyai pengurusan penanaman sawah yang teratur dan disahkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan. Dana SPPM ditawarkan bermula hari ini dalam tempoh setahun.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksektif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “keistimewaan yang kami tawarkan pada dana ini adalah ianya didatangkan dengan perlindungan takaful kemalangan diri percuma sebanyak RM10,000 bagi setiap petani berdaftar iaitu penerima Skim Subsidi Harga Padi (SHP)”.

Kami memahami keperitan dan kesusahan yang dialami oleh pesawah dalam menjalankan kerja bendang mereka. Justeru, sebagai tanda sokongan, kami menawarkan perlindungan takaful”, tambahnya.

Selain itu, pada majlis yang sama Agrobank turut menyumbangkan Tabung Hijrah Madani berjumlah RM100,000 kepada IADA Barat Laut, Selangor bagi aktiviti pembangunan masjid dan surau di negeri Selangor bersempena sambutan Awal Muharram hari ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksektif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah turut berkongsi, Agrobank telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 untuk bantuan kepada masjid-masjid yang telah dikenal pasti di 4 Jelapang Padi Utama Negara iaitu Jelapang MADA, KADA, IADA Barat Laut dan IADA Seberang Perak.

Turut hadir di Program Sentuhan Madani Peringkat Negeri Selangor, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, YB Tuan Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Yunos bin Abd Ghani, Pengerusi Agrobank dan Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Program Sentuhan Agro Madani peringkat Negeri Selangor juga telah dihadiri oleh seramai hampir 7 ribu pengunjung. Dalam program yang sama, Jualan Agro Madani turut diadakan melibatkan sebanyak 50 orang peniaga-peniaga dari sekitar Sekinchan.