AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Susuri Sungai Tembeling Perluas Perkhidmatan Cashless



ULU TEMBELING, PAHANG 26 OGOS 2023 – Agrobank hari ini melancarkan Program Kampung Cashless Mukim Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang dalam usaha mewujudkan urusniaga tanpa tunai (cashless) di kalangan penduduk kampung dan peniaga luar bandar.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan kepada peniaga dan penduduk kampung untuk melakukan transaksi pembayaran berkonsepkan digital iaitu cashless melalui DuitNow selain memupuk aktiviti pembayaran lebih mudah dan selamat.

“Agrobank juga dengan Kerjasama Bank Negera Malaysia dan Jabatan Pelancongan Negeri Pahang mensasarkan inisiatif ini sebagai salah satu program pelancongan. Di Kawasan persekitaran merupakan tarikan utama pelancong iaitu Taman Negara Kuala Tahan, justeru Agrobank terpanggil untuk menawarkan perkhidmatan cashless ini.

Inisiatif cashless ini bakal memberikan kelebihan kepada peniaga-peniaga untuk pengurusan kewangan yang lebih efisien, peluang perkembangan perniagaan, mempelbagaikan pilihan pembayaran serta pengurusan inventori yang lebih berkesan.

“Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Mat Daling, Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat dan Kampung Pagi serta sebahagian penduduk orang asli di Kampung Cangkuk dan Kampung Aur. Peniaga-peniaga dan penduduk setempat menyambut baik inisiatif ini dan dianggarkan dapat memberi manfaat kepada hampir 5,000 penduduk”, tambahnya.

Selain itu, program ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan baik dengan penduduk kampung pedalaman bagi menawarkan peluang perniagaan dan perkhidmatan Agrobank serta sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada penduduk luar bandar.

Majlis dirasmikan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Cik Leong Yu Man, dan disaksikan oleh wakil daripada Bank Negara Malaysia Wilayah Timur dan wakil daripada pihak Jabatan Pelancongan Negeri Pahang, ketua-ketua kampung sekitar dan penduduk Kampung Bantal serta penduduk kampung berhampiran.

Agrobank sedang merangka perancangan strategik untuk memperluaskan inisiatif ini ke kawasan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.