Agrobank Perkasa Usahawan Bumiputera Melalui Program Pembiayaan Agroputra
SERDANG, 20 SEPTEMBER 2024 – Agrobank melancarkan inisiatif baharu iaitu Program Pembiayaan Usahawan Bumiputera Agromakanan (AgroPutra) yang bertujuan membantu usahawan bumiputera dalam industri agromakanan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program ini dirancang dengan teliti bagi memastikan usahawan Bumiputera menerima sokongan kewangan yang diperlukan untuk memajukan dan mengembangkan perniagaan mereka. Skim AgroPutra ini terbahagi kepada dua kategori iaitu AgroPutra Niaga dan AgroPutra Tunas.”
“AgroPutra Niaga merupakan pembiayaan untuk merangsang pertumbuhan perniagaan sedia ada usahawan Bumiputera dalam kategori mikro dan kecil, terutamanya kepada golongan yang terlibat dalam keseluruhan rantaian bekalan makanan, termasuk pengeluaran sumber makanan, pemprosesan, pengedaran, pemasaran, dan perkhidmatan penyediaan makanan. Jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM500,000.00 dengan minimum pembiayaan sebanyak RM50,000.00,” tambahnya.
Beliau turut berkata, “Ada juga sesetengah yang mempunyai minat dan ingin mula ‘bertatih’ dalam sektor perniagaan. Walau bagaimanapun, masalah seperti akses kepada bantuan kewangan menjadi penghalang kepada kerjaya mereka. Oleh itu, fokus AgroPutra Tunas adalah kepada usahawan Bumiputera mikro yang baru, termasuk graduan, untuk memulakan perniagaan dalam bidang penyediaan, pemprosesan, dan penyimpanan makanan. Contoh perniagaan adalah termasuk kafeteria, perniagaan makanan sejuk beku, pusat pemprosesan makanan, dan katering. Mereka layak untuk menerima pembiayaan sehingga RM50,000.00 dengan minimum pembiayaan sebanyak RM5,000.00.”
AgroPutra Tunas bukan sekadar program pembiayaan, tetapi turut menganjurkan bimbingan keusahawanan bagi membolehkan usahawan baru ini mendapat pengetahuan dalam pengendalian perniagaan dengan lebih baik.
Dengan pelancaran AgroPutra, Agrobank komited untuk memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam sektor agromakanan yang menjadi pemacu penting dalam ekonomi Malaysia.