AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Menggalakkan Penerapan Agro-Teknologi Dengan Sokongan Kewangan Kepada Usahawan



SERDANG, 21 SEPTEMBER 2024 – Agrobank dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di bawah Inisiatif Ekonomi Madani mengumumkan penyaluran dana di bawah Program Pembiayaan Agroteknologi Madani (DPPAM) kepada tujuh usahawan agro yang layak.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Sokongan kewangan yang signifikan ini bertujuan untuk mempromosikan agroteknologi moden yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian dengan fokus kepada pengukuhan rantaian makanan negara.”

Beliau juga berkata, “Ketika kita bergerak ke arah ekonomi yang lebih berasaskan teknologi, sektor pertanian tidak boleh ketinggalan. Melalui program DPPAM, Agrobank menyediakan bantuan kewangan kepada petani, penternak dan usahawan agro untuk mengadaptasi teknologi terkini yang akan membantu menjamin masa depan makanan Malaysia.”

“DPPAM adalah instrumen penting untuk meningkatkan keterjaminan makanan dengan menggalakkan usahawan agro beralih kepada kaedah pertanian dan pengeluaran yang lebih moden dan cekap. Komitmen Agrobank menawarkan pembiayaan yang kompetitif dan kerjasama dengan agensi teknikal dapat memacu penerapan teknologi canggih di seluruh landskap pertanian Malaysia,” tambah beliau.

Majlis penyerahan dana ini berlangsung ketika Segmen Agrotech yang disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu. Dalam sesi ini, replica cek disampaikan kepada tujuh penerima dari pelbagai sektor pertanian termasuk tanaman, perikanan, ternakan dan industri berasaskan agro.