AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Mengecualikan Caj Transaksi Duitnow QR



KUALA LUMPUR, 1 OKTOBER 2023 – Seiring keprihatinan Agrobank terhadap kebimbangan yang disuarakan masyarakat berhubung caj transaksi yang dikenakan ke atas semua peniaga mikro dan kecil tanah air, pihak Pengurusan Agrobank mengumumkan pengecualian caj ke atas peniaga yang menerima pembayaran menggunakan platform kod Duitnow QR.

Pengecualian ini berkuatkuasa bermula pada 1 Oktober 2023 sehingga dimaklumkan kelak. Ianya terpakai kepada semua peniaga di bawah rangkaian Agrobank sedia ada mahupun yang baharu.

Menurut Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, ”Agrobank buat masa ini masih tidak mengenakan sebarang caj transaksi ke atas peniaga yang menggunakan kemudahan Duitnow QR sehingga diberitahu kelak.”

Menurutnya, ”semua peniaga boleh terus menggunakan perkhidmatan pembayaran Duitnow QR tanpa ragu seperti sediakala, kerana tiada apa-apa caj dikenakan buat masa ini. Apa yang pasti, sebarang perubahan akan dimaklumkan terdahulu lebih awal kepada para peniaga”.

Pengecualian caj transaksi DuitNow QR ini dilaksanakan bagi memastikan peniaga dapat terus menikmati perkhidmatan DuitNow QR.

Tambahnya lagi, ”langkah proaktif yang dilaksanakan Agrobank ini adalah bagi memberi kesedaran sambil mewujudkan keselesaan terhadap para pengguna Perbankan Mudah Alih AGRONet untuk terus menggunakan perkhidmatan kami dengan yakin dan menggunakan DuitNow QR untuk sebarang urusan pembayaran secara tanpa tunai”.

Dalam pada itu, Agrobank mewujudkan sebuah kempen DuitNow QR yang dinamakan sebagai ’Kempen DuitNow QR BIZ Tanpa Tunai’, bermula pada 1 Oktober 2023 hingga 31 Januari 2024.

DuitNow QR ditubuhkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (Interoperable Credit Transfer – ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM). PayNet, sebuah penyedia rangkaian pembayaran dan infrastruktur utama bagi pasaran kewangan di Malaysia diberi mandat menjalankan QR standard saling boleh kendali dan umum. PayNet dimiliki oleh BNM dan konsortium yang terdiri daripada 11 buah bank tempatan.