AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Edar Bakul Makanan Menerusi Program COVIDCAREMY 3.0



KUALA LUMPUR – Agrobank dengan kerjasama Persatuan Jaringan Pembangunan Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) dan MySkills Foundation semalam mengedarkan bantuan bekalan makanan kepada 60 keluarga daripada golongan berpendapatan rendah B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam di sini yang telah selesai menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 14 Julai yang lalu menerusi Program COVIDCAREMY 3.0.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata sebagai sebuah entiti korporat yang prihatin dan peka dengan cabaran dan keadaan semasa yang sedang dihadapi oleh komuniti setempat, Agrobank telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi meluaskan capaian untuk memberikan sumbangan dan bantuan kepada mereka yang terkesan oleh situasi semasa dek penularan pandemik COVID-19 yang sudah memasuki tahun kedua.

Tambah beliau, sejumlah RM200 diperuntukkan bagi setiap keluarga untuk dibekalkan dengan bekalan makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, gula, garam, sardin, susu pekat, kit penjagaan diri dan juga barangan korporat Agrobank seperti tuala muka, kipas tangan dan beg sandang untuk diedarkan kepada keluarga-keluarga yang telah dikenal pasti oleh DHRRA Malaysia.

Sementara itu, S.Saravanan, Pengerusi Jawatankuasa COVIDCAREMY dan DHRRA Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Agrobank dalam berganding bahu membantu golongan terkesan akibat COVID-19.

COVIDCAREMY 3.0 merupakan program kesinambungan COVIDCAREMY, satu inisiatif tindak balas krisis segera yang dilancarkan oleh DHRRA Malaysia pada Mac 2020 melalui formasi gabungan 20 NGO tempatan untuk menjangkau dan memberikan sokongan dan bantuan termasuk khidmat kaunseling kepada masyarakat yang terkesan. Dengan kerjasama dan sumbangan daripada pelbagai entiti korporat, DHRRA Malaysia telah berjaya menyokong dan membantu lebih 13,325 keluarga melalui dua fasa program COVIDCAREMY terdahulu.