AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Terus Pergiat Program Agrobank Dan Komuniti, Peruntuk RM35 Ribu Lancar Misi Bantuan Ke Yan, Kedah



YAN, KEDAH – Agrobank terus mempergiatkan program perdananya, Agrobank dan Komuniti dan kali ini misi bantuan diteruskan untuk membantu komuniti setempat di Yan, Kedah yang terkesan akibat banjir kilat yang berlaku susulan fenomena kepala air dengan mengedarkan kotak bantuan bencana berupa makanan dan keperluan asas kepada 200 keluarga.

Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, selaras dengan slogan ‘Sentiasa di Sisi Anda’, Agrobank amat cakna dan prihatin akan kesukaran dan situasi semasa yang sedang dihadapi oleh komuniti setempat di Yan, Kedah ekoran bencana alam yang berlaku beberapa minggu yang lalu dan membuat keputusan untuk meneruskan program Agrobank dan Komuniti, untuk meringankan beban komunti yang terkesan dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM35,000.

“Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dek bencana alam yang berlaku di Yan, Kedah. Apatah lagi, apabila salah seorang warga kerja kami di Pusat Kredit Padi Agrobank turut terjejas akibat daripada fenomena alam ini dan beliau merupakan salah seorang daripada 200 penerima yang mendapat manfaat menerusi misi bantuan pada kali ini.” katanya.

Sesi penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh Norafiza Ani Abdullah, Ketua Bahagian Jualan dan Perkhidmatan Agrobank Wilayah Utara kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana di Dewan Dato’ Madi pada tengahari ini. Kotak sumbangan yang diberikan kepada penerima berupa makanan dan keperluan asas seperti makanan kering dan minuman, barang penjagaan peribadi, bantal, sejadah, telekung dan bahan pencuci.

Sementara itu, Jamali Kamal, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Yan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Agrobank atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan oleh Agrobank untuk membantu mereka yang terkesan terutamanya dalam menghadapi situasi sukar pada waktu ini.

Misi bantuan di Yan, Kedah ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya, Agrobank dan Komuniti yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.