AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Serah 10 Unit Motor Roda Tiga Bernilai RM93,357.70 Kepada Usahawan Asnaf Di Kedah



ALOR SETAR – Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah menerusi Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiganya menyerahkan 10-unit motor roda tiga bernilai RM93,357.70 kepada usahawan asnaf di Majlis Penyerahan FoodMotor.

Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiga ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank yang bertujuan untuk membantu asnaf-asnaf yang terpilih meningkatkan pendapatan mereka melalui perniagaan menggunakan motor roda tiga.

Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Agrobank untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawanan dalam komuniti Asnaf di negeri Kedah bagi membuka peluang baharu kepada bakal usahawan daripada golongan Asnaf, dan juga meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa berikutan pasca COVID-19.”

“Melalui program yang berasaskan pembangunan perniagaan usahawan Asnaf ini, Agrobank menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan Asnaf yang berdikari, proaktif dan berdaya saing untuk turut sama terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan agromakanan, sekaligus berupaya keluar daripada status Asnaf fakir dan miskin,” tambah beliau lagi.

Majlis serahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Haji Zakaria Othman serta para penerima yang terdiri daripada usahawan Asnaf negeri Kedah di Dewan Dato’ Syeikh Mahmood Naim, Alor Setar, Kedah minggu lalu.