AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Sedia Dana 100 Juta Bagi Pembangunan Usahawan Bumiputera



SABAK BERNAM, 24 Julai 2023 – Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini telah mengadakan upacara penukaran dokumen Memorandum of Understanding (MoU) dan penyerahan replika cek sebagai simbolik MoU dalam Program Sentuhan Kasih Desa anjuran bersama beberapa agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Kerjasama strategik ini adalah bagi memperkasa dan mengembangkan pembangunan keusahawanan Bumiputera melalui beberapa produk-produk dana pembiayaan Agrobank khusus kepada usahawan-usahawan Bumiputera sektor pertanian dengan dana keseluruhan berjumlah RM100 Juta dalam tempoh setahun.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank amat berbesar hati dan komited menjalinkan kerjasama komprehensif dengan pihak MARA, dan kami percaya perkhidmatan pembiayaan yang ditawarkan Agrobank mampu memenuhi keperluan kewangan dan perbankan yang dihasratkan terutamanya oleh usahawan Bumiputera MARA yang mahu mengembangkan perniagaan mereka, memerlukan kewangan untuk memperbaharui infrastruktur perniagaan dan pelbagai lagi.

“Kami menawarkan pembiayaan sehingga 5 Juta kepada setiap usahawan dengan tempoh pinjaman maksimum 5 tahun. Kadar keuntungan pula 3.75 peratus setahun”, tambahnya.

Upacara penukaran MoU ini disempurnakan oleh Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Datuk Azhar Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA.

Majlis penukaran dokumen MoU ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank turut berkata, “Agrobank amat meyokong mana- mana usahawan yang mempunyai hasrat untuk mengembangkan perniagaan meraka dan kami sentiasa ada untuk memberi pelbagai solusi pembiayaan yang bersesuaian terutamanya dalam sektor pertanian agar matlamat kelestarian negara dapat dicapai”.