AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Dan LPP Meterai MOU, Urus Caruman Takaful Warga Peladang Dengan Peruntukan RM5 Juta



SERDANG, SELANGOR – Agrobank dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi menguruskan dan mempromosikan caruman takaful ahli peladang di seluruh negara dibawah Program Smart Card Keluarga Peladang (Peladang-i) dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM5 juta.

Menerusi kerjasama ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan RM5 juta kepada LPP, yang akan disalurkan secara sekali beri (one off) kepada Agrobank untuk menguruskan caruman takaful ahli-ahli peladang di bawah program ini.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, Agrobank sebagai sebuah syarikat kewangan mempunyai kepakaran dan kapasiti bagi menguruskan peruntukan dan dana yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan komuniti pertanian dan agromakanan secara amnya, terutamanya bagi ahli peladang yang memainkan peranan sebagai agensi pelaksana di bawah program ini.

“Agrobank amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan LPP bagi membantu ahli-ahlinya di seluruh Malaysia dalam menawarkan manfaat daripada kad pintar Peladang-i ini yang akan memberikan impak nilai tambah yang tinggi untuk meningkatkan kualiti pengalaman perbankan mereka yang turut disertakan dengan manfaat daripada perlindungan takaful ini,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di MAEPS, Serdang pada Rabu.

Majlis pertukaran MOU ini telah disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah dan Datuk Azulita Salim, Ketua Pengarah LPP sambil disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank dan Tuan Adhif Syan Abdullah, Timbalan Pengerusi LPP.

Program Smart Card Keluarga Peladang mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank. Selain berfungsi sebagai kad identiti keahlian berkonsepkan transkasi perbankan moden, kad Peladang-i turut dilengkapi dengan manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 dengan bayaran serendah RM5 setahun.

Tengku Ahmad Badli Shah turut menambah, Agrobank juga menyasarkan kira-kira 10,000 ahli baharu LPP yang akan didaftarkan di bawah program ini, dan Agrobank akan turut berhubung secara terus dengan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara untuk tujuan mempromosi atau membuka kaunter pembukaan akaun PELADANG-i seterusnya mendaftarkan perlindungan Takaful kepada ahli – ahli yang layak.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan program ini, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1300 88 2476 atau e- mel customer@agrobank.com.my.