AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Komited Bangunkan Usahawan Belia Tani Di Kalangan Siswazah



SERDANG, 16 OGOS 2023 – Agrobank menerusi usahasama dengan para rakan strategiknya giat menguruskan Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST), terutama dalam penyediaan dana program di samping membangunkan usahawan belia tani dengan membekalkan latihan dan bimbingan keusahawanan, termasuk pemantauan dan pelaporan program.

Agrobank menyediakan sumber dana peruntukan daripada rakan-rakan strategik yang lain melalui kolaborasi strategik berbentuk Zakat / Wakalah, Wakaf Tunai dan Sadaqah. Program yang berteraskan konsep seed funding ini memberi peluang kepada usahawan yang terpilih untuk mempelajari teknik tanaman dengan menggunakan teknologi terkini, selain membantu para pelajar asnaf menjana dan menambah pendapatan, seterusnya meningkatkan taraf kehidupan mereka, sekaligus dapat keluar dari belenggu kemiskinan. Sebagai sebuah bank Pembangunan yang menyediakan bantuan kewangan terutama buat para agropreneur, Agrobank amat prihatin terhadap pembangunan para usahawan belia ini dengan turut menampung kos pembangunan dan penyediaan infrastruktur, kos input, utiliti dan sewaan tapak, tenaga pengajar, elaun pelajar serta kos-kos operasi lain yang berkaitan.

Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “bagi tujuan pembangunan PROBEST di Universiti Putra Malaysia (UPM) khususnya, Agrobank memperuntukkan RM965,250.00 bagi projek tanaman dan penternakan terpilih iaitu tanaman melon, cili dan ternakan puyuh serta ikan air tawar, yang mana ia bakal memberi manfaat buat 34 orang peserta program. Dana keseluruhan PROBEST adalah bernilai RM3 juta, dengan 8 projek tanaman dan penternakan akan dilaksanakan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi terpilih, melibatkan 100 orang peserta”.

Ujarnya lagi, “melalui Agrobank Centre of Excellence (ACE), kami amat komited membantu para usahawan yang menyertai program ini menjana pendapatan berterusan. Dalam konteks ini, peranan Agrobank adalah untuk menggalakkan minat bertani di kalangan usahawan tani belia dari golongan siswazah universiti agar mereka dapat terus memajukan kegiatan pertanian dan keusahawanan mereka ke peringkat yang lebih tinggi”.

“Penglibatan Agrobank bersama mereka bermula hari pertama dan seterusnya memberi latihan dan bimbingan serta memantau prestasi para usahawan yang terlibat sehingga mereka tamat program merupakan manifestasi terhadap penerapan nilai hand holding yang sering kami gagaskan”, tambahnya lagi.

Beliau bercakap ketika menghadiri Majlis Penutupan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 yang berlangsung pada hari ini, bertempat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM. Turut hadir di majlis tersebut; Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta Dato’ Prof Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM.