AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Salur Zakat dan Bantuan Persekolahan Sempena Ramadan



Penganjuran Majlis Iftar Ramadan merupakan satu wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Inilah semangat yang perlu dipupuk dan suburkan dalam negara yang berbilang kaum dan agama.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikan ketika merasmikan Majlis Iftar Ramadan 2025 anjuran Agrobank bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sook yang dihadiri seramai 700 masyarakat tempatan.

Jelasnya lagi, penganjuran majlis ini adalah cerminan aspirasi Agrobank yang bukan hanya sebuah institusi yang menyediakan penyelesaian kewangan kepada komuniti tani, tetapi juga komited dalam menganjurkan inisiatif yang meraikan dan memberi manfaat sosial kepada masyarakat setempat. Selain itu, inisiatif ini turut memacu pembangunan komuniti dan pendidikan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Majlis iftar anjuran Agrobank ini diadakan bersempena menyantuni komuniti di Daerah Sook. Majlis ini bukan sekadar berkongsi rezeki dan keberkatan Ramadan, tetapi juga menjadi platform untuk memperkuatkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.”

Sempena majlis ini, Agrobank mengambil kesempatan untuk menyalurkan zakat bernilai RM30,000.00 yang memberi manfaat kepada 300 orang asnaf di sekitar Kawasan Pensiangan. Dalam majlis yang sama, bantuan persekolahan turut diagihkan kepada 300 orang pelajar.

“Bantuan persekolahan yang disumbangkan pada hari ini bernilai RM19,000.00 termasuk beg sekolah, botol air dan pensil warna. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dalam menyokong pembangunan pendidikan dan meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan, terutamanya untuk keperluan persekolahan dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.” katanya lagi.

Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata dalam memperkukuhkan kemudahan perbankan di daerah Sook, Agrobank akan mewujudkan sebuah lagi cawangan Agrobank di Pekan Sook selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini.

Beliau percaya dengan adanya cawangan Agrobank di sini, ianya akan memperkukuhkan lagi kitaran ekonomi setempat selain menyokong usaha beliau bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan sejajar dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di daerah ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Risiko Agrobank, Encik Hussein Mullar; Pengarah Wilayah Agrobank Sabah, Encik Haji Ridwan Tenriranran dan Ketua Polis Daerah Keningau; YDH Supt Yampil Anak Garai serta pemimpin-pemimpin tempatan.