Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) 2025 Tawar RM30 Juta Pacu Penggunaan Agroteknologi
Agrobank hari ini mengumumkan pelancaran Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) 2025, sebuah inisiatif pembiayaan strategik dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bertujuan untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan melalui pemerkasaan penggunaan agroteknologi.
Program di bawah Inisiatif Belanjawan 2025 ini merupakan usaha Agrobank dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian menerusi penggunaan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), teknologi hijau, mekanisasi dan automasi, serta analisis data raya.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “PMRNA 2025 adalah cerminan komitmen Agrobank dalam mendukung aspirasi nasional bagi memperkukuh rantaian nilai agromakanan negara. Melalui program ini, kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan yang kompetitif, malah turut menyokong pembangunan kapasiti teknologi di kalangan usahawan komuniti tani.”
“Di bawah program ini, pembiayaan sehingga RM1 juta menerusi dua produk utama Agrobank iaitu Pembiayaan Berjangka-i (Term Financing) dan Pembiayaan Modal Kerja-i disediakan dengan margin pembiayaan sehingga 100% merangkumi kos agroteknologi, infrastruktur sokongan dan modal kerja. Selain itu, pembiayaan ini ditawarkan dengan kadar keuntungan serendah 3% setahun melalui konsep patuh Syariah Tawarruq.
Keutamaan diberikan kepada syarikat Bumiputera, dengan syarat pemilikan 51% rakyat Malaysia dan perniagaan berdaftar yang mematuhi garis panduan syariah serta bebas daripada sebarang tindakan undang-undang.” tambahnya.
Selain pembiayaan aset, PMRNA 2025 yang merupakan pembiayaan khusus ditawarkan oleh kerajaan dan dibawah selian bank pembangunan Agrobank ini turut membiayai latihan peningkatan kapasiti teknologi, perolehan persijilan seperti MyGAP atau MyHijau, serta permit atau lesen berkaitan untuk meningkatkan standard operasi
syarikat agromakanan.
Agrobank yang berorientasikan pelanggan dengan fokus utamanya untuk mengukuhkan sektor pertanian, terus komited dalam menyokong transformasi sektor agromakanan Malaysia melalui inovasi dan pembangunan mampan yang inklusif.