AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Santuni Golongan OKU Melalui Penyerahan Skim Perlindungan Agro Nurani



Agrobank hari ini tampil sebagai saksi bagi satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Borneo Housing Mortgage Finance Berhad melalui penyerahan mock cheque kepada dua pusat pemulihan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Kota Kinabalu sebagai simbolik penajaan pembelian Skim Perlindungan Agro Nurani dibawah selian Agrobank.

Penajaan ini melibatkan perlindungan takaful kepada seramai 50 orang pelatih dan penghuni di dua pusat penjagaan OKU iaitu:
1. Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti, Kota Kinabalu: seramai 40 orang
penerima dengan nilai perlindungan berjumlah RM520,000
2. Taman Didikan Kanak-kanak Kurang Upaya, Kota Kinabalu: seramai 10
orang penerima dengan nilai perlindungan berjumlah RM130,000

Jumlah keseluruhan nilai perlindungan yang disumbangkan adalah sebanyak RM650,000, melalui produk Agro Nurani iaitu sebuah skim perlindungan berlandaskan prinsip patuh syariah yang ditawarkan oleh Agrobank kepada golongan rentan seperti OKU.

Majlis penyerahan ini menjadi manifestasi kepada komitmen berterusan Agrobank dalam menyokong agenda keterangkuman sosial serta memperluas capaian perlindungan kewangan kepada seluruh lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang upaya.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, ”Agrobank sentiasa terbuka dan bersedia menjadi platform kepada mana-mana pihak korporat atau agensi yang ingin menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat menerusi produk perlindungan patuh Syariah.”

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi golongan rentan, malah membuktikan bahawa produk Agrobank menyantuni keperluan pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti OKU,” tambahnya.

Skim Perlindungan Agro Nurani diperkenalkan oleh Agrobank sebagai usaha memperluas perlindungan takaful dengan kos yang berpatutan, khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan berisiko tinggi yang sering terlepas daripada liputan insurans konvensional.