Agrobank Perkasa Usahawan Asnaf Dan B40 Menerusi Program Tanaman Tembikai
Agrobank hari ini menganjurkan Program Penutup Hijrah Asnaf Tanaman Tembikai bagi pemerkasaan golongan asnaf B40 dalam menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program yang melibatkan 20 peserta ini memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dalam penanaman tembikai. Agrobank melalui peruntukan zakat dan ITekad Bank Negra Malaysia (BNM) memperuntukkan dana sebanyak RM510,400 untuk menjayakan inisiatif ini.”
“Kami juga menyediakan sokongan dalam bentuk bimbingan teknikal, dan sumber keperluan lain melalui Agrobank Centre of Excellence (ACE) bagi memastikan kejayaan projek ini. Sebelum ini meraka hanya menjana pendapatan sebanyak RM10,000 semusim tetapi selepas mengikuti program ini pendapatan mereka meningkat sehingga RM30,000. Kita dapat lihat mereka menikmati peningkatan pendapatan sehingga RM20,000 semusim oleh setiap peserta selepas mengikuti program ini.”
”Program inovatif ini menggariskan komitmen Agrobank terhadap pembangunan pertanian lestari dan impak sosial. Dengan memperkasakan golongan belia asnaf dan B40 melalui penanaman tembikai, Agrobank bukan sahaja menangani isu ketidaksamaan pendapatan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian Malaysia.” tambahnya.
Melalui program ini, peserta telah dibimbing mengenai teknik-teknik pertanian yang sesuai, termasuk penggunaan teknologi moden aplikasi digital oleh Kapitani.OS, “Pendigitalan Rekod Ladang Usahawantani” iaitu aplikasi untuk memantau perbelanjaan, rekod penuaian, jualan dan keuntungan mereka. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memperkukuh ekonomi komuniti melalui penciptaan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan yang stabil dalam kalangan golongan asnaf.
Melalui Program Hijrah Asnaf Tanaman Tembikai, Agrobank yakin dapat membantu golongan asnaf mencapai kemerdekaan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Ini adalah komitmen Agrobank dalam mendukung usaha untuk mengurangkan kemiskinan dan memberikan mereka peluang untuk berjaya.