AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Program Ladang Kontrak Nafas Baharu Bagi Veteran ATM



Agrobank hari ini melancarkan Kerjasama Strategik bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) dan Aqina Group of Companies (Aqina) bagi pelaksanaan program Ladang Kontrak Agro Defence yang memberikan keutamaan kepada penanaman nenas premium daripada varieti MD2 serta penternakan ayam daging/kampung organik bersempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.

Program ini bertujuan membuka peluang kepada veteran ATM untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan secara komersial dengan sokongan pembiayaan daripada Agrobank. Setiap peserta layak menerima kemudahan pembiayaan sehingga RM500,000 bertujuan menampung kos operasi ladang. Program dijangka melibatkan hampir 20 peserta yang akan diselia sepenuhnya oleh Aqina.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Kerjasama strategik ini bukan sahaja membantu meningkatkan keterjaminan bekalan hasil pertanian dan ternakan negara, malah menyediakan sumber pendapatan yang lebih stabil kepada para veteran ATM. Ianya sejajar dengan mandat Agrobank untuk memperkukuh agenda keterjaminan makanan
negara serta memajukan komuniti tani.”

Program Ladang Kontrak ini merupakan inisiatif Agrobank dalam membantu peserta untuk meningkatkan taraf hidup khususnya golongan pesara dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun, bermula selepas perjanjian dimeterai.

Peserta yang berminat perlu melalui proses saringan dan temuduga oleh pihak Aqina, selain memenuhi syarat kelayakan seperti berumur antara 21 hingga 60 tahun, bebas daripada tindakan undang-undang dan tidak disenaraihitamkan oleh institusi kewangan.

Melalui pelaksanaan program ini, Agrobank bersama rakan strategiknya yakin dapat memperkukuh rantaian nilai agro-makanan negara di samping membantu golongan sasar meningkatkan taraf sosioekonomi mereka secara mampan dan holistik.