Agrobank Tawar 200 Juta Pertingkat Keterjaminan Makanan Negara
Agrobank hari ini mengumumkan Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) 2025 bertujuan untuk memperkukuh keterjaminan makanan serta ke arah kelestarian industri pertanian dan agromakanan negara.
Dana ini menawarkan kemudahan geran pembiayaan kepada komuniti tani yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran agromakanan (dari huluan sehingga hiliran termasuk aktiviti perkhidmatan sokongan) bagi menggalakkan penggunaan agroteknologi dalam sektor agromakanan.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin “Agrobank sebagai agensi pelaksana menawarkan kemudahan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM5,000,000 kepada usahawan komuniti tani yang layak dan menepati keperluan projek dengan kadar keuntungan 3% setahun”.
“Skop pembiayaan ini bermula dengan modal tetap seperti pembelian aset dan kos pembangunan, serta keperluan modal kerja. Ianya juga merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri termasuk pengeluaran sumber makanan seperti penanaman, penternakan dan perikanan, pemprosesan, pengedaran, pemasaran dan juga perkhidmatan penyediaan makanan.” tambahnya.
Sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) yang memfokus kepada sektor pertanian, Agrobank terus memainkan peranan strategik dalam menyediakan akses kewangan yang inklusif, mampan dan relevan kepada usahawan komuniti tani serta pemain industri, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh daya saing sektor agromakanan negara.