AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Sumbang Zakat, Santuni Komuniti Setempat Di Pasir Puteh



PASIR PUTEH, KELANTAN – Agrobank menyantuni dan meraikan komuniti setempat dengan golongan asnaf daripada kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Pasir Puteh di majlis iftar dan sumbangan zakat anjuran Agrobank bersama Ma’had Al Itqan Li Al Tahfiz Wa Al Dakwah (MITD), yang berlangsung pada 23 April 2022.

Sumbangan zakat sebanyak RM10,000 telah diserahkan kepada pihak pengurusan MITD, manakala RM8,000 diedarkan kepada kepada 80 orang asnaf daripada kalangan OKU. Majlis ini telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada mandat Bank dalam mengukuhkan kesejahteraan sosial dengan menambah baik dan meningkatkan taraf kehidupan komuniti kurang mendapat liputan dan perhatian terutamanya di kawasan pedalaman.

“Kami berharap usaha murni ini akan dapat membantu pihak pengurusan MITD menjalankan tanggungjawab mereka dalam memenuhi keperluan pelajar-pelajar tahfiz sebagai sebuah institusi pengajian Al-Quran. 

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin, Agrobank berasa terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kami bersama komuniti setempat, khususnya golongan asnaf daripada kalangan OKU. Diharapkan sumbangan ini akan membawa makna bagi mereka, terutamanya yang memerlukan bantuan tambahan untuk persediaan menyambut Syawal kali ini,” katanya.

Pelbagai program pembangunan melibatkan golongan asnaf seperti program keusahawanan asnaf telah diusahakan Agrobank dengan kerjasama bersama pelbagai rakan strategik. Sepanjang tahun 2020 dan 2021, sekumpulan pelajar tahun akhir asnaf telah dipilih dan diberikan wang zakat serta bimbingan pengurusan perniagaan sehingga berjaya menguruskan perniagaan sendiri.

Terbaharu, Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Kedah (LZK) dan Hayat Teras Maju telah melancarkan Program Hijrah Asnaf Ruminan melibatkan anak muda di Kuala Nerang, Kedah dengan peruntukkan zakat keseluruhan berjumlah RM120,000.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, selain fokus untuk membangunkan komuniti agro dan industri asas tani pada keseluruhan, Agrobank sentiasa melihat dan menitik beratkan beban komuniti di luar sektor pertanian dan golongan yang memerlukan, agar mereka juga mampu maju menjadi penyumbang kepada ekonomi dan pertumbuhan negara.

“Kami mahu melihat mereka turut merasai nikmat dan ganjaran sebagai pemberi zakat apabila taraf kehidupan mereka bertambah baik pada masa hadapan,” katanya.