AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Serah Wang Pampasan Takaful Perlindungan Diri Kepada USAS, Ringan Beban Keluarga Penuntut USAS Terlibat Dalam Kemalangan Maut



IPOH – Agrobank menyerahkan wang pampasan takaful perlindungan diri berkelompok berjumlah RM160,000 termasuk manfaat khairat kematian sebanyak RM2,000 seorang kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), yang menerima bagi pihak keluarga lima penuntut USAS yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora baru-baru ini.

Penyerahan ini telah disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank kepada Prof. Dato’ Wan Sabri Yusof, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik USAS, di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh pada Rabu.

Di majlis yang sama, Tengku Ahmad Baldi Shah turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan waris mangsa.

“Dikesempatan ini, saya ingin menyampaikan ucapan takziah daripada seluruh warga kerja Agrobank kepada seluruh keluarga mangsa dan waris yang terlibat dalam kemalangan ini. Diharapkan agar seluruh ahli keluarga dan waris yang terbabit sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini. Kami mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh.”

Untuk makluman, USAS telah mengambil pelan perlindungan Takaful Hybrid Agrobank dengan sumbangan premium sebanyak RM30 bagi tempoh setahun untuk setiap pelajar yang mendaftar di USAS. Seramai 6,049 pelajar USAS telah dilindungi oleh pelan perlindungan Takaful dengan Agrobank ini.

Selain manfaat kematian dan khairat kematian akibat kemalangan dan bukan kemalangan, pelan perlindungan serendah RM30 setahun ini turut melindungi para pencarum termasuk pelajar USAS bagi kes hilang upaya kekal sepenuhnya akibat kemalangan dan bukan kemalangan, rawatan perubatan, dan elaun tunai hospital.

Dalam kejadian sekitar jam 1.45 pagi pada 12 Mei lalu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.