Agrobank Pupuk Minat Pelajar Dalam Bidang Akuakultur Melalui Teknologi Bioflok
Agrobank telah menganjurkan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Persekolahan dan Pelepasan Anak Ikan Tilapia yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersempena Program Aquaculture Aspire yang telah dirasmikan pada 17 September 2024 di MAHA 2024. Program khidmat masyarakat yang mengetengahkan pendidikan akuakultur berasaskan teknologi bioflok ini direka khusus untuk pelajar neurodiversiti untuk memupuk minat, pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam bidang perikanan.
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, “Program Aquaculture Aspire anjuran Agrobank menampilkan pendekatan yang unik dan berinovasi melalui penggunaan teknologi bioflok yang mesra alam untuk penternakan ikan Tilapia. Teknologi ini membolehkan pengurangan penggunaan air dalam sistem ternakan, di samping meningkatkan mutu kualiti air dengan mewujudkan ekosistem yang optimum untuk pembiakan ikan yang lebih efisien.”
Beliau turut berkata, “Dalam usaha memacu industri akuakultur, integrasi teknologi moden adalah sangat penting, terutamanya dalam menarik minat generasi muda yang bakal menjadi pelapis industri perikanan negara pada masa depan. Program ini bukan sahaja menyokong pembangunan sektor akuakultur tempatan, malah menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran makanan yang mampan.”
“Melalui program ini, Agrobank berhasrat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menggabungkan teori dan amali di luar bilik darjah, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk meneroka bakat yang berpotensi membentuk kerjaya masa depan. Di peringkat sekolah, aktiviti ini juga berpotensi menjadi inisiatif keusahawanan yang dapat menjana pendapatan untuk menyokong perkembangan ekonomi sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran lain.”
“Pada bulan lepas, Agrobank telah merasmikan Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ di Masjid D’ Raja Tengku Aziza, Melor, Kelantan. Di peringkat sekolah pula, Agrobank mensasarkan pelaksanaan Program Aquaculture Aspire di 10 buah Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terpilih di Semenanjung Malaysia. Bagi fasa pertama, program penternakan ikan Tilapia ini akan dijalankan di SMK Jalan Kebun dengan melibatkan pelajar PPKI dalam aliran akuakultur.”
Dalam majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan sumbangan wang persekolahan kepada 200 orang pelajar di kawasan Parlimen Kota Raja. Setiap pelajar menerima bantuan wang persekolahan bernilai RM150.00 beserta keperluan persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis dan botol air.