AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Hargai Usaha Kebun Komuniti Garden 8, Promosi Aktiviti Pertanian Bandar Di Kawasan Kejiranan



GOMBAK – Agrobank menghargai usaha dan komitmen Kebun Komuniti Garden 8 di Taman Perwira, Gombak yang giat mempromosikan konsep kejiranan lestari di lorong belakang perumahan mereka dan sekaligus menggalakkan aktiviti pertanian pintar di kawasan perumahan bandar.

Menurut Zurina Othman, Ketua Pegawai Pengurusan Kredit Agrobank yang turut hadir ke Karnival Garden 8 yang diadakan pada hujung minggu lalu berkata, beliau amat teruja dengan inisiatif oleh komuniti penduduk Taman Perwira yang terdiri daripada 33 orang ahli kejiranan bagi membangunkan projek Kebun Komuniti Garden 8 yang bermula sejak September 2021.

“Selain menjalankan aktiviti pertanian bagi pelbagai jenis tanaman bunga, sayur-sayuran dan herba bagi memanfaatkan sepenuhnya ruang lorong belakang yang sedia ada, saya turut dimaklumkan mereka turut menerapkan konsep lestari seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), kitar semula, penggunaan baja kompos dan tenaga solar dalam pembangunan Kebun Komuniti Garden 8 ini. Mereka juga turut sanggup meluangkan masa dan tenaga serta berkongsi dana untuk mengindahkan lagi lorong belakang perumahan mereka dengan membina laluan pejalan kaki, memasang rumput karpet, membina pintu gerbang serta menambah pelbagai dekorasi menarik, disamping mengeratkan silaturahim sesama jiran,” kata Zurina.

“Inisiatif Kebun Komuniti Garden 8 ini pastinya amat selari dengan peranan dan aspirasi Agrobank untuk terus mendukung komuniti Agro yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bagi mempromosikan konsep kebun kejiranan lestari dan sekaligus menyokong usaha Kerajaan dalam menggalakkan pertanian bandar menerusi pemerkasaan “Dasar Kebun Komuniti Bandar. Inisiatif sebegini ini pastinya mampu menarik minat golongan muda terutamanya kanak-kanak dan remaja untuk turut sama terlibat dalam aktiviti pertanian dan sekaligus mampu menjana ekonomi mikro komuniti setempat di kawasan kejiranan mereka.”

“Oleh yang demikian, Agrobank amat berbesar hati untuk turut sama terlibat dan menyumbang dana permulaan sebanyak RM5,000 kepada Kebun Komuniti Garden 8 bagi mengembangkan lagi potensi aktiviti pertanian bandar mereka dan insha Allah di masa hadapan, kami di Agrobank akan terus memberikan sokongan dan galakan kepada komuniti Garden 8 dan juga komuniti Agro di kawasan – kawasan perumahan yang lain untuk menggalakkan lagi aktiviti pertanian pintar di bandar mahupun di luar bandar.”

Menyentuh mengenai peranan Agrobank dalam menyokong aktiviti agromakanan negara, Zurina berkata, “Agrobank akan terus komited memainkan peranan kami sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam menyumbang kepada pembangunan sistem makanan yang lebih bersepadu di masa hadapan, merangkumi keseluruhan rantaian makanan termasuklah aktiviti hiliran dan huluan dan sekaligus mampu menyediakan makanan kepada semua orang, di mana sahaja, pada setiap hari.”

“Kami juga akan terus menggalakkan aktiviti-aktiviti berkaitan jaminan bekalan makanan negara yang berupaya mengukuhkan lagi sistem keselamatan makanan negara melalui pelbagai program komuniti dan perniagaan kami, termasuklah menerusi penawaran perkhidmatan dan produk pembiayaan kami yang komprehensif.”

Karnival Garden 8 merupakan satu inisiatif Kebun Komuniti Garden 8 di Taman Perwira, Gombak dengan kerjasama Agrobank dan beberapa agensi lain. Karnival yang berlangsung selama sehari itu menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti demonstrasi masakan, pengurusan asas ternakan kelulut, dan pelbagai gerai jualan makanan dan hasil tanaman Kebun Komuniti Garden 8.