AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Perkukuh Sektor Akuakultur Menerusi Program Aquaculture Aspire Agrobank 2025



Agrobank hari ini menganjurkan sesi pelepasan anak ikan tilapia di SMK Nyalas Asahan Melaka melibatkan pelajar dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan disempurnakan oleh Tuan Yuhaizad bin Abdullah, Wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

SMK Nyalas Melaka merupakan institusi pendidikan yang menawarkan Program Vokasional
Menengah Atas (PVMA) dengan pengkhususan dalam bidang pertanian. Mengambil kira potensi ini, Agrobank selaku institusi utama dalam sektor agro telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran praktikal dan pengetahuan pelajar dalam bidang akuakultur moden. Melalui sumbangan teknologi bioflok, ia mendedahkan bakat-bakat muda dalam bidang akuakultur, khususnya kepada kaedah ternakan ikan yang lebih mampan dan efisien.

Menurut Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, berkata, “Program Aquaculture Aspire anjuran Agrobank menampilkan pendekatan
yang unik dan berinovasi melalui penggunaan teknologi bioflok yang mesra alam untuk penternakan ikan Tilapia. Teknologi ini membolehkan pengurangan penggunaan air dalam sistem ternakan, di samping meningkatkan mutu kualiti air dengan mewujudkan ekosistem yang optimum untuk pembiakan ikan yang lebih efisien.”

Beliau turut berkata, “Program ini bukan sahaja menyokong pembangunan sektor akuakultur tempatan, malah menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran makanan yang mampan.”

“Melalui program ini, Agrobank berhasrat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dengan gabungan teori dan amali di luar bilik darjah, sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk meneroka bakat yang berpotensi membentuk kerjaya masa depan. Di peringkat sekolah, aktiviti ini juga berpotensi menjadi inisiatif keusahawanan yang dapat menjana pendapatan untuk menyokong perkembangan ekonomi sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti pembelajaran lain.”

Dalam majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan bantuan zakat kepada 50 orang pelajar. Program Aquaculture Aspire ini dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM140,000. Inisiatif ini diharapkan dapat memperkasa para pelajar dalam bidang akuakultur bagi menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara demi masa depan yang lebih mampan.