AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank lancar Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’- i khusus untuk wanita



SERDANG, SELANGOR – Agrobank hari ini melancarkan Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa’-i khusus untuk agropreneur wanita (usahawan tani wanita).  Majlis perasmian Agro Nisaa’-i telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan A, MAEPS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa 2018 (MAHA 2018) yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Agro Nisaa’-i ini merupakan kemudahan pembiayaan mikro yang disediakan khusus untuk usahawan wanita bagi mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian dan industri asas tani. Agro Nisaa’-i ini menggabungkan tiga (3) konsep utama iaitu pembinaan asas disiplin kredit, pengeluaran pembiayaan yang berterusan dan pemantauan yang konsisten serta sistematik.

Menurut Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (P/CEO), menerusi konsep ini, para usahawan yang terlibat di bawah program pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i akan dibimbing oleh pegawai Agrobank tentang pengurusan kewangan, perbelanjaan dan khidmat nasihat lain. 

“Ianya sejajar dengan peranan yang telah dimandatkan Bank Negara Malaysia (BNM) buat Agrobank untuk menyediakan kemudahan kewangan bagi membantu golongan yang kurang mendapat perhatian (serving the unserved and underserved community) terutamanya golongan B40.  Sasaran kita adalah pembiayaan ini memberi fokus kepada usahawan mikro memulakan dan memajukan perniagaan mereka.  Agrobank berharap agar pembiayaan Agro Nisaa’-i ini dapat membantu untuk meningkatkan taraf hidup usahawan wanita terutamanya golongan B40.”

“Selain pembiayaan maksimum sehingga RM30,000 dan kadar efektif serendah 8.31%, agropreneur wanita yang menyertai program ini turut mendapat pelan perlindungan takaful kemalangan diri selama setahun. Istimewanya program pembiayaan Agro Nisaa’-i ini, ia akan digerakkan melalui pembentukan kumpulan dengan lima (5) orang ahli di mana, para agropreneur dapat berkongsi tips perniagaan di antara satu sama lain selain mendapat bimbingan daripada pegawai Agrobank,” tambah beliau lagi.

Menurut YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, usaha Agrobank memperkenalkan produk Agro Nisaa’-i  tepat pada waktunya.  Akses pembiayaan kepada usahawan mikro terutamanya agropreneur wanita adalah sangat penting.  Beliau yakin, langkah proaktif yang diperkenalkan Agrobank menerusi pembiayaan Agro Nisaa’-i ini dapat membantu usahawan mikro khususnya wanita meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi mereka walaupun secara kecil-kecilan.

Sementera itu, pada majlis yang sama, Agrobank juga turut menyampaikan biasiswa kepada lima (5) orang pelajar daripada universiti tempatan di Majlis Penyampaian Program Anugerah Biasiswa Agrobank 2018 (SAP).  Program ini terbuka kepada pelajar warganegara Malaysia yang mengikuti program ijazah sarjana muda sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi tempatan. Objektif program ini adalah untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang memerlukan bantuan kewangan di dalam kategori B40.

Para pelajar menerima elaun sebanyak RM6,000 yang merangkumi elaun tempat tinggal dan elaun buku serta komputer riba.  Penerima Program Anugerah Biasiswa Agrobank 2018 (SAP) adalah:

  1. Aina Zafirah Binti Mohd Zulkifli – Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  2. Nor Hafilah binti Awang – Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  3. Hariz Tasnim Bin Hafizan – Sarjana Muda Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malysia (UKM)
  4. Muhammad Mujib Bin Khairul Amri – Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
  5. Muhammad Arif Bin Yosuf – Sarjana Muda Komputesi dan Teori, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM-Kampus Kuantan)

Risalah Agro Nisaa’-i

  • English
  • Bahasa