AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkenal Skim Perlindungan Takaful Menyeluruh Takaful Mabrur-i Dengan Manfaat Upah Haji



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini melancarkan skim takaful perlindungan diri komprehensif terbaharu yang dikenali sebagai Takaful Agro Mabrur-i.  Skim perlindungan yang dikhususkan untuk umat Islam ini menawarkan manfaat menarik dan menyeluruh  termasuk upah haji dan waqaf. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Datuk Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan di ibu pejabat Agrobank.

Selain daripada manfaat kematian dan keilatan kekal, produk ini juga menawarkan manfaat badal haji atau upah haji iaitu pelanggan yang mengalami kecacatan kekal ataupun meninggal dunia akan mendapat manfaat berupa wang tunai bagi waris mengerjakan haji secara upah haji.

Sebagai satu langkah membantu ekonomi umat Islam, produk ini juga menyediakan manfaat wakaf tunai yang akan dibayar terus ke institusi zakat yang berkenaan.Menurut Dato Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, produk Takaful Agro Mabrur-i merupakan produk takaful terbaharu daripada Agrobank.

Menunaikan haji di tanah suci Mekah merupakan salah satu rukun Islam dan kami faham ia merupakan salah satu perkara wajib yang perlu dilakukan sekali seumur hidup oleh umat Islam yang berkemampuan. Namun, sesetengah dari kita tidak mampu melakukannya atas beberapa faktor antaranya faktor kesihatan.

Oleh yang demikian, Agrobank telah memperkenalkan satu produk perlindungan Takaful yang memfokuskan manfaat upah haji kepada pelanggan yang meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal. Kami percaya manfaat ini bakal menarik minat ramai pelanggan. Agrobank turut mensasarkan 40,000 pelanggan untuk melanggan produk ini dengan jumlah keseluruhan RM3 juta pada tahun pertama pelancarannya, kata Dato Wan Mohd Fadzmi.

Sementara itu, Datuk Johari Abdul Ghani dalam ucapannya memuji langkah Agrobank memperkenalkan produk Agro Mabrur-I yang mempunyai ciri unik iaitu pembiayaan upah haji kepada waris dan wakaf.

Pengenalan produk Takaful Mabrur-i ini membuktikan Agrobank sentiasa inovatif dan proaktif dalam mengeluarkan produk yang tidak hanya tertumpu kepada komuniti pertanian dan ini sekaligus menjadikan Agrobank berdaya saing dengan pasaran konvensional dan seterusnya meningkatkan hasil kutipan negara, kata Datuk Johari.

Datuk Johari juga menegaskan pentingnya lebih banyak program-program pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful. Masih ramai lagi rakyat yang tidak memiliki pelindungan takaful. Namun dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat kita tidak boleh bergantung harap ke atas simpanan wang semata-mata untuk menampung hidup, Jika sakit, perlulah ada takaful untuk melindungi kita, kata Datuk Johari. 

Agrobank menawarkan dua (2) jenis kategori untuk Takaful Mabrur-i iaitu individu (terbuka) dan berkelompok dengan sumbangan tahunan serendah RM75 bagi kategori individu dan RM40 bagi kategori berkelompok.

Pada majlis yang sama, YB Datuk Johari Abdul Ghani turut menyampaikan kad Takaful Mabrur-i tajaan Agrobank kepada 50 orang asnaf dari sekitar Kuala Lumpur. Tajaan kepada golongan asnaf ini melibatkan jumlah perlindungan takaful bernilai RM750,000.

Pelanggan yang melanggan Takaful Mabrur-i turut berpeluang untuk menyertai kempen 1Agro yang menawarkan hadiah-hadiah menarik termasuk hadiah utama iaitu kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux. 

Setakat Januari 2015 sehingga Febuari 2016, jumlah jualan produk takaful oleh Agrobank berjumlah RM24.3 juta.