AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Jaffri Ahmad dan Mazlina Kamarudin daripada Bismi Cergas Sdn Bhd diiktiraf sebagai Agropreneur Cemerlang Agrobank 2018



KUALA LUMPUR – Jaffri Ahmad dan Mazlina Kamarudin, pemilik Bismi Cergas Sdn Bhd, hari ini diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Agropreneur Agrobank* bagi tahun 2018 di bawah kategori Usahawan Cemerlang. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YB Dato’ Salehuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang disaksikan oleh YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank dan Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank. Seramai lebih daripada 250 orang tetamu menghadiri majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Kuala Lumpur sempena dengan ulangtahun Agrobank yang ke-49.

Pemilik Bismi Cergas Sdn Bhd yang merupakan suami dan isteri memulakan perniagaan ayam pada tahun 1994. Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, syarikat ini terus berkembang menjadi pembekal terbesar daging ayam di utara Malaysia. Pencapaian dan kejayaan syarikat adalah hasil daripada dedikasi serta kepimpinan melalui teladan pasangan ini. Jaffri Ahmad mengetuai urusan operasi sementara Mazlina Kamarudin memberi tumpuan kepada bahagian pengurusan dan pentadbiran syarikat. Gabungan ini ternyata membuktikan kejayaan cemerlang syarikat dan di antara pelanggan korporat mereka ialah Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd.

Mengulas mengenai penghargaan 3A, Tan Sri Mohamad Zabidi berkata, anugerah itu adalah sebahagian daripada inisiatif Agrobank untuk mengiktiraf usahawan cemerlang dalam bisnes- agri.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, anugerah ini adalah sebahagian daripada inisiatif Bank bagi mengiktiraf usahawan cemerlang di dalam perniagaan berasaskan pertanian.

“3A telah diperkenalkan pada tahun 2016 bagi memberi penghargaan kepada para pelanggan Agrobank yang berjaya di dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian sama ada bagi aktiviti pertanian huluan dan hiliran.  Kami percaya bahawa kisah kejayaan mereka akan memberi inspirasi kepada semua sekaligus meningkatkan prospek dan potensi yang baik dalam perniagaan berasaskan pertanian,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

 “Agrobank telah ditubuhkan pada tahun 1969 dengan tujuan untuk memberi akses pembiayaan bagi merangsang pertumbuhan di dalam sektor pertanian.  Dengan mandat ini, Agrobank komited dalam mencipta nilai dengan memberikan keperluan pembiayaan kepada usahawan, dan secara tidak langsung membantu membangunkan komuniti serta mencipta nilai kepada komuniti sasaran merentasi keperluan perbankan. Kami percaya bahawa usahawan yang berjaya dapat memacu pertumbuhan dan kemakmuran serta memberi inspirasi bagi perubahan yang positif bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi juga kepada semua komuniti dan juga ekonomi secara keseluruhannya”.

“Nilai-nilai ini adalah sejajar dengan perantaraan bersaskan nilai atau value-based intermediation (VBI) iaitu inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) yang memberi fokus kepada amalan dalam menghasilkan kemudahan bagi bidang keusahawanan, kesejahteraan komuniti, persekitaran yang mampan dan pertumbuhan ekonomi,” tambah Tan Sri Mohamad Zabidi.

Agrobank adalah salah satu daripada pengasas bagi Komuniti Pengamal VBI (CoP) yang terdiri daripada Sembilan (9) buah bank yang telah menunjukkan komitmen mereka untuk mengadaptasi VBI.

Selain penghargaan utama di atas, Agrobank juga menyampaikan 7 anugerah lain kepada para usahawan berikut:

  • Anugerah Agropreneur Muda – Kamaruzzaman Abd Jalil, Desa Selatan Beef Sdn Bhd
  • Anugerah Agropreneur Mikro Nur Aisyah Tey Abdullah, Nat Mega Enterprise
  • Anugerah Agropreneur Orang Kurang Upaya (OKU) Zarida Zakaria, Sinar ZZ Enterprise
  • Anugerah Agropreneur Wanita Yap Di Bee, Marine Gold Marketing Sdn Bhd
  • Anugerah Agropreneur Inovasi Dato’ Lau Hai Po, Lai Hin Trading Sdn Bhd
  • Anugerah Pelanggan Setia (Individu) Nazri bin Mohammad
  • Anugerah Pelanggan Setia (Syarikat) – Medan Juara Sdn. Bhd.

Para pemenang yang menerima anugerah dengan membawa pulang sebuah trofi, sijil dan hadiah wang tunai keseluruhannya berjumlah RM140,000.00.

Penilaian pemenang anugerah adalah berdasarkan input daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi meningkatkan proses penilaian.