AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

foodpanda Bekerjasama Dengan Agrobank Untuk Menawarkan Pembiayaan Mikro Kepada Usahawan Dari Rumah



KUALA LUMPUR – Masa depan bagi usahawan dari rumah kelihatan cerah dan positif kerana foodpanda Malaysia, platform penghantaran makanan terkemuka di Malaysia dan Agrobank telah bersetuju untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menyediakan  bantuan kewangan kepada para vendor foodpanda untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka menerusi jaringan HomeChef.

Menerusi kerjasama ini, para vendor dan rakan penghantar foodpanda berpeluang dan mempunyai akses kepada Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz Agrobank, skim pembiayaan mikro bagi individu-individu yang terjejas akibat cabaran ekonomi semasa namun tetap bersemangat untuk memulakan perniagaan makanan sendiri dari rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin telah menandatangani MoU pada majlis yang telah diadakan pagi tadi di ibu pejabat foodpanda, Bangsar South.

Mengulas mengenai inisiatif tersebut, Sayantan berkata: “Sebagai peneraju dalam bidang penghantaran makanan dan perdagangan pantas, kami percaya dalam usaha-usaha yang boleh memperkasakan keusahawanan kerana dalam jangka masa yang panjang, usaha seperti ini akan meningkatkan pertumbuhan perniagaan tempatan. foodpanda tidak hanya berfungsi sebagai pasaran pasif semata-mata di mana para vendor boleh berhubung dengan setiap pelanggan mereka, tetapi kami berusaha untuk memupuk dan menyokong untuk mereka mencapai potensi penuh masing-masing. Kami yakin dengan kerjasama bersama Agrobank ini, kami dapat sinergikan kekuatan dan memberikan perubahan yang hebat untuk bakal usahawan di platform kami.”

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah turut berkata: “Kami berbesar hati dapat menandatangani MoU ini bersama foodpanda di mana kami menyediakan kepakaran dan sokongan kewangan kepada para vendor dan rakan penghantar yang sedia ada dan berpotensi di bawah inisiatif HomeChef melalui Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz.”

“Kerjasama ini akan meningkatkan lagi visi kami untuk menerajui sektor pertanian negara melalui produk pembiayaan patuh syariah dan penyelesaian kewangan dalam usaha memenuhi keperluan komuniti agromakanan termasuk mereka yang menjalankan aktiviti huluan dan hiliran. Usaha berterusan Agrobank melalui program pembiayaan rantaian penuh kami adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sambil meningkatkan tahap jaminan keselamatan makanan dan tahap sara diri (SSL) di Malaysia,” tambah beliau.

HomeChef merupakan inisiatif foodpanda untuk pengembangan dan peningkatan jumlah perniagaan dari rumah sambil menghubungkan para pelanggan dengan hidangan unik yang enak melalui platform foodpanda.

Kerjasama eksklusif ini turut akan menyaksikan kerjasama antara Agrobank bersama foodpanda Malaysia dengan program HomeChef pada jerayawara di seluruh negara yang bertujuan membimbing para vendor dalam perjalanan digitalisasi mereka dan untuk meningkatkan kesedaran tentang program tersebut. Lokasi-lokasi jerayawara termasuklah bandar peringkat kedua dan kawasan separa bandar di Pahang, Kelantan, Johor, Kedah, Sabah dan Sarawak. Akhirnya, foodpanda Malaysia berhasrat untuk mewujudkan ekosistem yang memperkasakan pembangunan perniagaan dari rumah.

“Untuk program ini, pastinya kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Agrobank kerana ia sejajar dengan visi kami iaitu untuk menambah usahawan tempatan dalam bidang makanan dan minuman. Kami berharap dapat memanfaatkan kekuatan dan kewujudan Agrobank yang meluas untuk mengembangkan inisiatif HomeChef dan menjangkau bakal pemilik perniagaan di seluruh negara. Program kredit mikro ini bukan sahaja menawarkan kadar keuntungan  yang menarik, tetapi ia juga mengurangkan risiko untuk pemilik perniagaan dari rumah. Melalui kerjasama ini, kami percaya ia boleh menciptakan ekosistem untuk memberi inspirasi dan memperkasakan keusahawanan tempatan,” tambah Sayantan.

Para vendor HomeChef boleh menikmati akses kepada rakan kongsi ekosistem perniagaan dan pelbagai peluang foodpanda termasuk jenama francais tempatan, latihan kesihatan dan keselamatan makanan, latihan halal, pembungkusan dan bekalan serta panduan pemasaran sesama mereka. Sehingga kini, terdapat lebih 5,000 vendor HomeChef di bawah foodpanda Malaysia.

Di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz, setiap pemohon akan diberi moratorium selama enam bulan dan dikenakan kadar keuntungan sebanyak 3% pada bulan ketujuh dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan. Pembiayaan ini boleh digunakan untuk pembelian aset-aset tetap dan modal pusingan untuk pelbagai aktiviti perniagaan seperti pengedaran dan penghantaran makanan melalui platform p-hailing seperti foodpanda. Melalui program ini juga rakan kongsi penghantaran foodpanda boleh mendapatkan pembiayaan untuk membeli motosikal.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program HomeChef, sila layari https://bit.ly/3VYKq91.